Sudah lebih dari setahun Honor 7 dilancarkan secara rasmi ke pasaran Malaysia dan ia merupakan diantara telefon pintar pada harga yang berbaloi dengan spesifikasinya. Kini, Honor Malaysia telah mengurangkan harga peranti berkenaan kepada RM 1,199.
Menurut Honor Malaysia, langkah pengurangan harga ini bertujuan meningkatkan daya saing jualan Honor 7 di pasaran tempatan. Malah, ini merupakan pertama kali Honor mengurangkan harga perantinya di Malaysia. Sebagai perbandingan, Honor 7 dijual pada harga RM 1,399 ketika ianya mula diperkenalkan.
Pengurangan harga peranti ini turut melibatkan variasi Honor 7 yang lebih baru, Honor 7 Enhanced yang kini dijual pada harga RM 1,299. Model ini cuma dibezakan pada ruang storan dalaman yang menawarkan 32 GB berbanding 16 GB. Lain-lain, masih sama sahaja seperti kedua-duanya memiliki paparan IPS 5.2-inci 1080p, pemproses Kirin 935 dengan memori 3GB, slot kad mikroSD, bateri 3,100mAh, juga termasuk kamera belakang 20MP dan depan 8MP.
Harga baru bagi kedua-dua peranti ini telah dikuatkuasakan bermula semalam, 26 September dan boleh didapati di kedai-kedai jualan dan atas talian melalui Vmall.my
Sumber berita diperoleh dari Vmall.my













