Grab Malaysia dengan kerjasama studio animasi MONSTA dan Astro Shaw telah menganjurkan satu tayangan khas filem animasi tempatan terlaris, Papa Zola The Movie, bagi meraikan lebih 100 rakan pemandu dan rakan penghantar mereka.

Majlis yang berlangsung di Golden Screen Cinemas (GSC) One Utama, Petaling Jaya pada penghujung tahun 2025 ini bertujuan menghargai dedikasi serta pengorbanan komuniti gig tersebut dengan memberi peluang kepada mereka meluangkan masa berkualiti bersama ahli keluarga.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha Grab Malaysia untuk mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh rakan pemandu dan penghantar yang dianggap sebagai tulang belakang kepada perkhidmatan platform berkenaan.

Selain tayangan filem, kerjasama ini turut menyaksikan Grab menampilkan watak Papa Zola di dalam aplikasi mereka dan menerusi pengiklanan digital luar rumah (DOOH) bagi mengukuhkan penglibatan komuniti.

Dedikasi kepada buat rakan pemandu dan penghantar 

Menurut Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti di Grab Malaysia, Rashid Shukor, tayangan khas ini didedikasikan khas buat rakan kongsi yang sentiasa bekerja keras menyara keluarga.

“Di Grab Malaysia, kami berbesar hati meraikan rakan pemandu dan penghantar kami yang merupakan nadi kepada platform ini. Tayangan istimewa ini adalah satu sambutan khusus sebagai penghargaan terhadap dedikasi, kegigihan dan peranan penting mereka dalam menyara keluarga setiap hari. Selaras dengan mesej daripada Papa Zola The Movie, kami berharap inisiatif ini dapat memberi peluang kepada mereka untuk meluangkan masa berkualiti bersama orang tersayang dan mencipta kenangan keluarga yang bermakna,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA merangkap pengarah dan penulis filem tersebut, Nizam Abd Razak menyifatkan jalan cerita Papa Zola The Movie mempunyai persamaan dengan realiti kehidupan pekerja ekonomi gig.

Papa Zola The Movie merupakan sebuah naskhah yang berakar daripada realiti kehidupan hari ini, tentang ibu bapa yang sama-sama memikul tanggungjawab demi keluarga. Dalam dunia yang semakin mencabar, termasuk realiti ramai yang mencari rezeki melalui ekonomi gig seperti penghantaran makanan, kisah ini dekat dengan apa yang kita lihat setiap hari. Justeru, kami melihat filem ini sebagai naskhah untuk para pejuang di luar sana yang berjuang dalam diam, namun tetap cekal demi insan tersayang.” ujar Nizam.

Penerbit Eksekutif Papa Zola The Movie dan Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad turut menambah bahawa tema pengorbanan, kasih sayang, dan ketabahan yang ditonjolkan dalam filem ini adalah selari dengan dedikasi yang ditunjukkan oleh komuniti pemandu dan penghantar Grab.

Filem kekeluargaan dengan mesej universal

Papa Zola The Movie mengisahkan seorang bapa yang bekerja keras demi keluarga sebelum memulakan misi menyelamat anaknya yang diculik dengan bantuan isterinya daripada ancaman makhluk asing.

Filem ini kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura, dan Brunei. Dalam pada masa yang sama, ia dijadualkan untuk tayangan di Indonesia bermula Januari 2026, diikuti oleh India, Vietnam, dan pasaran Timur Tengah (termasuk Arab Saudi dan Turki) pada April 2026.

Kerjasama strategik antara penyedia platform teknologi dan pemain industri kreatif ini bukan sahaja memartabatkan industri animasi tempatan, malah mengangkat kebajikan tenaga kerja ekonomi gig.

Pengembangan tayangan filem ini ke pasaran global bermula awal tahun 2026 dijangka akan terus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Tinggalkan komentar