Selepas Huawei disenaraikan semula sebagai ahli di bawah SD Alliance, WiFi Alliance dan Bluetooth SIG, kini giliran Google pula membuat pusingan-U. Telefon pintar Huawei Mate 20 Pro yang digugurkan daripada senarai peranti Android Q Beta akhirnya disenaraikan semula di laman web pembangun Android.

Baru-baru ini, Kerajaan A.S telah melarang syarikat-syarikat A.S. daripada menjalankan urus niaga dengan Huawei Technologies dan ini telah memberi kesan terhadap rakan-rakan kongsinya termasuk Google. Walaupun diberi penangguhan selama 90 hari dan jaminan dari Google bahawa mereka akan terus menyediakan kemas kini perisian dan keselamatan, gergasi enjin carian berkenaan telah pun mengeluarkan Huawei dari laman rasmi Android Jumaat lalu.

Melalui perkembangan baru ini, pengguna Huawei Mate 20 Pro dilihat masih lagi boleh mendapatkan kemaskini Android Q. Setakat ini, telefon pintar Huawei masih lagi tidak dipaparkan di lokasi yang sebelumnya disyorkan Huawei P30 Pro untuk kamera peranti Android terbaik dan Mate X sebagai contoh untuk peranti Android boleh lipat

Huawei pada masa yang sama turut memulakan pelan kecemasan sendiri sebagai persediaan jika Android tidak dibenarkan untuk digunakan. Sebelum ini pernah dilaporkan bahawa sistem operasi mudah alih baru oleh Huawei mungkin akan dinamakan sebagai Hong Meng di China. Manakala untuk pasaran global pula ianya mungkin akan dipanggil Ark OS. Oleh kerana akses kepada sebilangan besar aplikasi amat penting untuk mana-mana telefon pintar, OS yang akan datang ini dijangka mampu menjalankan aplikasi-aplikasi Android yang sedia ada.

Sumber berita diperoleh dari PhoneArena

Tinggalkan komentar