Google Malaysia pada hari ini telah mengumumkan kehadiran sokongan perkhidmatan Google Wallet di Malaysia. Sama seperti perkhidmatan e-dompet lain, Google Wallet memanfaatkan penggunaan teknologi bagi memudahkan pengguna membuat pembayaran dalam bentuk elektronik.
Anda kini boleh memuat turun aplikasi Google Wallet di Google Play Store untuk menggunakannya sebagai platform pembayaran untuk kegunaan secara fizikal mahupun digital. Sebahagian jenama-jenama yang menyokong pembayaran menggunakan kaedah ini termasuklah Airbnb, Al-Ikhsan Sports, Applecrumby, Eat Cake Today, dan Shopee.
Senarai kad bank yang menyokong Google Wallet di Malaysia
Beberapa bank tempatan juga telah mula menawarkan sokongan untuk platform pembayaran dari Google berkenaan. Berikut adalah kad-kad bank di Malaysia yang menyokong platform Google Wallet:
- CIMB (kad kredit Mastercard)
- Hong Leong Bank (kad kredit Visa dan kad debit Mastercard)
- Hong Leong Islamic Bank (kad debit Mastercard
- Public Bank (kad kredit dan debit Visa)
Selain itu, pemegang kad kredit Visa dan Mastercard HSBC serta kad kredit Visa dan Mastercard HSBC Amanah juga akan menerima sokongan tersebut dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Cara menambah kad kredit/debit ke dalam Google Wallet
Platform Google Wallet ini ditawarkan untuk peranti-peranti Android atau Wear OS yang menyediakan sokongan teknologi komunikasi jarak dekat (Near Fieald Communication, NFC).
Untuk menambah kad kredit atau kad debit anda ke dalam Google Wallet, lakukan langkah-langkah seperti berikut:
- Muat turun aplikasi Google Wallet di Google Play Store
- Buka aplikasi Google Wallet
- Tekan ‘View Wallet’
- Pada halaman berikutnya, tekan ‘Add a card’
- Seterusnya, pada halaman ‘Add a payment card’, masukkan maklumat berkaitan kad kredit atau kad debit yang anda ingin pautkannya dengan Google Wallet.
- Pilih cara pengesahan identitii anda sama ada melalui SMS, email atau membuat panggilan ke bank anda di halaman ‘Choose how you’ll verify’
- Anda juga boleh memilih untuk menjadikan Google Pay sebahgai pilihan lalai (default) pembayaran pada halaman ‘Set Google Pay as your default’