Menjelang acara pelancaran Made By Google yang kian hampir, Google telah mempergiatkan lagi kempen promosi siri Pixel 10 baharunya. Banyak maklumat mengenainya telah diperkatakan.
Baru-baru ini Google telah berkongsikan video pendek mengiklankan siri Pixel 10. Bertajuk “Soon”, iklan 30 saat berkenaan menampilkan model Pro berwarna Moonstone. Di dalam video tersebut, pengisah memaklumkan penonton supaya menukarkan telefon jika telefon yang dibeli mempunyai ciri “akan datang” selama setahun.
Ia merupakan perlian kepada Apple berkenaan janji untuk Siri yang “baharu dan dipertingkatkan”. Naik taraf yang dijanjikan tersebut pertama kali diumumkan pada acara WWDC 2024 dan dirancang untuk diperkenalkan dengan Apple Intelligence.
Bagaimanapun, janji tersebut tidak dapat ditunaikan. Buat masa ini, Siri yang diperbaiki dijangka akan dilancarkan sekitar tahun hadapan.
Ketika Apple optimis dengan perkembangan semasa naik taraf AI Siri, penangguhan tersebut pastinya tidak memberikan gambaran yang baik. Google pula tidak teragak-agak untuk menyatakan keadaan tersebut melalui iklan acah Pixel 10 dengan meminta penonton menukar pandangan.
Setakat ini tidak banyak yang diketahui secara rasminya mengenai barisan Pixel 10. Apa yang dikongsikan setakat ini lebih kepada maklumat-maklumat yang didakwa tertiris ke internet. Google Pixel 10 dijangka akan diperkenalkan di dalam acara Made by Google pada 20 Ogos ini bersama-sama jam tangan pintar Pixel Watch 4.