Google dan Apple kerap kali menjalankan pemantauan dan menarik keluar sebarang aplikasi yang disyaki mengandungi adware dan malware dari gedung aplikasi masing-masing. Terbaru, Google telah dilaporkan mengenalpasti tidak kurang dari 85 aplikasi mengandungi adware dan mengeluarkannya dari Play Store.
Aplikasi berkenaan dikenalpasti secara teknikal sebagai “AndroidOS_Hidenad.HRXH” dan telah diketemukan buat pertama kalinya oleh syarikat keselamatan siber, Trend Micro. Adware tersebut mengandungi teknik unik yang membolehkannya mengelak dari dikesan disamping mampu memaparkan iklan-iklan pada telefon pintar yang tidak dapat ditutup oleh pengguna.
Pada masa yang sama, aplikasi-aplikasi berkenaan juga didapati dengan sengaja menyukarkan pengguna untuk menyahpasangnya dari telefon pintar pengguna.
Apa yang membimbangkan adalah, aplikasi-aplikasi berkenaan didapati telah pun dimuat turun secara keseluruhannya sejumlah lapan juta kali oleh pengguna-pengguna di seluruh dunia.
Pihak Trend Micro turut mengingatkan pengguna supaya mengemaskini sistem operasi Android masing-masing ke versi paling terkini bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan.
Sumber berita diperoleh dari Trend Micro












