Google telah mengumumkan bahawa gedung aplikasi Google Play Store akan mula memaparkan label amaran pada aplikasi yang dikesan menggunakan kuasa bateri secara berlebihan.
Inisiatif yang akan bermula pada 1 Mac 2026 ini bertujuan membantu pengguna telefon pintar membuat pilihan yang lebih bijak. Ia juga berpotensi mengelakkan aplikasi yang boleh menghabiskan hayat bateri peranti mereka dengan cepat.
Masalah hayat bateri yang singkat merupakan kebimbangan utama bagi kebanyakan pengguna telefon pintar. Walaupun banyak pengeluar peranti melengkapkan produk mereka dengan bateri berkapasiti lebih besar, sesetengah aplikasi pihak ketiga boleh menguras kuasa bateri secara senyap di latar belakang.
Bagi menangani isu ini, Google akan memperkenalkan label amaran pada senarai aplikasi di Play Store. Label tersebut akan memberitahu pengguna bahawa aplikasi berkenaan mungkin menyebabkan penggunaan bateri yang tinggi disebabkan oleh aktiviti latar belakang yang berlebihan.
Langkah ini adalah sebahagian daripada strategi yang lebih luas oleh Google untuk menangani masalah penggunaan bateri. Sebelum ini, Google, dengan kerjasama Samsung, telah memperkenalkan metrik “kunci bangun separa yang berlebihan” (excessive partial wake lock) untuk para pembangun aplikasi Android. Metrik ini kini telah ditambah baik dan tersedia untuk semua pembangun.
Sesuatu aplikasi dianggap mempunyai tingkah laku buruk apabila ia menghalang peranti daripada masuk ke mod tidur (sleep mode) untuk menjalankan proses di latar belakang. Google menetapkan had ambang tingkah laku buruk seperti berikut:
- Jika aplikasi memastikan peranti sentiasa “bangun” selama lebih daripada dua jam dalam tempoh 24 jam.
- Jika tingkah laku ini berlaku dalam 5% sesi pengguna dalam tempoh 28 hari, aplikasi tersebut telah melepasi had yang ditetapkan.
Apabila sesebuah aplikasi melepasi had ini, Google akan memaklumkan kepada pembangunnya supaya perubahan dapat dibuat. Selain itu, aplikasi tersebut juga berisiko untuk tidak disenaraikan dalam cadangan aplikasi di Google Play Store.












