Julai lalu, Google Play Pass telah menjalankan pengujian sebagai sebuah perkhidmatan langganan yang menyediakan akses ke ratusan aplikasi-aplikasi premium. Terbaru, Google telah mengacah perkhidmatan ini dengan menyatakan ianya “coming soon” disamping turut memperkenalkan logo rasminya.

Berbeza dengan perkhidmatan Apple Arcade untuk peranti iOS yang mengkhususkan permainan sahaja, Play Pass dijangka menawarkan aplikasi dan juga permainan. Harganya akan ditetapkan pada $4.99 sebulan dengan tempoh percubaan selama 10 hari. Ini bagaimanapun dijangka bakal berubah apabila akan dilancarkan kepada pengguna umum nanti.

Katalog aplikasinya nanti bakal menyenaraikan ratusan aplikasi premium yang merangkumi penjejak kesihatan dan penyunting muzik. Kesemua aplikasi di bawah Play Pass bebas dari sebarang iklan atau pembelian di dalam aplikasi, serta seluruh kefungsiannya telah dinyahkunci.

Gedung Google Play turut akan menawarkan seksyen khusus untuk menelusuri aplikasi-aplikasi yang ditawarkan melalui Play Pass. Selain itu, aplikasi yang ditawarkan di dalam Play Pass akan ditandakan dengan jalur berwarna ungu pada butang ‘Beli” di dalam gedung Play Store.

Google Play pada hari ini turut memperkenalkan logo baru yang bakal digunakan untuk perkhidmatan langganan berkenaan melalui akaun rasminya di Twitter. Logo terbaru ini berbentuk seakan-akan tiket, sesuai dengan perkhidmatan baru yang ditawarkannya ini.

Sumber berita diperoleh dari Gizmodo

Tinggalkan komentar