Google Pixel 10 Pro Fold juga secara rasminya telah diumumkan bersama-sama siri Pixel 10 di dalam acara Made by Google malam tadi. Telefon pintar ini merupakan peranti boleh lipat kedua keluaran Google yang berkesinambungan dari Pixel 9 Pro Fold.
Sama seperti siri Pixel 10 yang lain, Pro Fold juga menggunakan pemprosesan Google Tensor G5 dengan RAM LPDDR5X 16GB. Ia ditawarkan dengan storan UFS 4.0 berkapasiti dari 256GB sehingga 1TB.
Paparan luarannya merupakan OLED 6.4-inci dengan kadar penyegaran semula adaptif antara 60Hz dan 120Hz. Dalam pada masa yang sama, paparan dalamannya pula merupakan panel OLED LTPO 8-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Tahap kecerahan puncak sehingga 3,000 nits disediakan pada kedua-dua belah skrinnya ini.![]()
Bateri berkapasiti 5,015mAh disediakan untuk telefon pintar boleh lipat ini dengan sokongan pengecasan berwayar 30W dan nirwayar 15W melalui Qi2. Ia juga mempunyai penarafan kerintangan debu dan air IP68 bersama-sama jaminan ketahanan boleh lipat sehingga lebih dari 10 tahun.![]()
Kamera utama Pixel 10 Pro Fold menampilkan tetapan tri-kamera yang mengandungi kamera lebar 48MP, kamera ultra-lebar 10.5MP, dan kamera telefoto 10.8MP dengan keupayaan zum optikal 5x, hibrid 10x, dan digital 20x. Selain itu, kameranya ini juga mempunyai akses teknologi pengimejan Google Pro Res Zoom yang menggunakan AI generatif untuk memperhalusi dan memperkemaskan perincian di dalam gambar jarak jauh sehingga 100x.
Pixel 10 Pro Fold juga merupakan telefon pintar boleh lipat Google pertama yang secara rasminya memasuki Malaysia. Ia dijual pada harga bermula dari RM7,999 dengan pilihan warna Moonstone dan Jade.
Pra-tempahan Pixel 10 Pro Fold bermula dari hari ini dengan ketersediaannya dijadualkan pada 9 Oktober 2025. Anda boleh mendapatkannya menerusi Shopee, CelcomDigi, Maxis, U-Mobile, Urban Republic, Sen Heng dan Thunder Match Technology.














