Pelbagai pendedahan demi pendedahan telah disebarkan berkenaan telefon pintar terbaru dari Google yang dikenali sebagai Pixel. Namun, masih banyak lagi info yang tidak diketahui umum sehinggalah hari pelancaran telefon pintar berkenaan yang didedahkan semalam.

Sebagai telefon pintar yang “made by Google” (padahal dikilangkan oleh HTC), Pixel merupakan telefon pintar pertama yang memiliki fungsi Google Assistant. Ia boleh dilancarkan dengan cara menekan dan pegang butang Home. Sama caranya yang kita gunakan untuk melancarkan aplikasi Google Now. Sebaik sahaja dilancarkan, pengguna boleh menggunakannya untuk melakukan tugasan-tugasan seperti melakukan tempahan, mencari foto di dalam peranti dan juga menghantar pesanan melalui khidmat pesanan ringkas.

Oleh kerana Pixel merupakan telefon pintar rekaan premium, permukaan atasnya diberikan kemasan kaca dan pada kerangkanya pula hadir dengan kemasan aluminium yang digilap.

Sesuai dengan motto “the best smartphone camera…ever”, Pixel menampilkan kamera 12.3 megapiksel yang mana ditarafkan pada 89 mata oleh DxOMark, sebuah laman yang memperincikan kamera telefon mudah alih. Untuk perbandingan, DxOMark memberikan 88 mata pada kamera telefon pintar Samsung Galaxy S7 Edge.

https://www.youtube.com/watch?v=Rykmwn0SMWU

Tentang spesifikasi pula, Google Pixel dilengkapi dengan paparan AMOLED 5 inci 1080p atau AMOLED 5.5 inci 1440p mengikut pilihan variasi. Pemprosesan Qualcomm Snapdragon 821 yang tersedia padanya dipadankan dengan RAM 4GB LPDDR4 dan storan 32 GB atau 128 GB mengikut model.

Ia turut mempunyai penderia cap jari yang dinamakan Pixel Imprint. Dari segi kapasiti bateri pula, kedua-dua model masing-masing memiliki kapasiti 2,770mAh dan 3,450mAh. Apa yang menarik tentang tempoh jam penggunaan peranti ini adalah ia mampu bertahan selama 7 jam dengan tempoh pengecasan hanya 15 minit.

Cuma, tidak dapat dipastikan sama ada telefon pintar ini akan hadir ke pasaran Malaysia atau tidak. Harga yang ditawarkan adalah bermula dari USD 649 (bersamaan RM2,700) mengikut jenis-jenis model tertentu.

-Sumber berita diperoleh dari Fox News

Tinggalkan komentar