Google baru-baru ini telah mengeluarkan emel notifikasi kepada pengguna-pengguna Workspace berkenaan kenaikan kadar SST dari 6% ke 8% bermula 1 Mac 2024. Pihak syarikat juga memaklumkan kenaikan tersebut akan dinyatakan di dalam invois baharu yang akan datang.

Perubahan di dalam bil yang baharu ini kelak dilakukan secara automatik dan pengguna tidak perlu melakukan apa-apa tindakan.

Kos perkhidmatan-perkhidmatan dalam talian lain seperti penstriman dan permainan digital juga dijangka meningkat berikutan kenaikan kadar SST tersebut. Penyedia-penyedia utama seperti Netflix, Disney Hotstar, dan juga dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi masing-masing tidak lama lagi.

Perkhidmatan penstriman merupakan yang pertama dikenakan dengan SST di Malaysia pada Januari 2020 yang menyaksikan sedikit kenaikan harga langganannya. Hal yang sama juga mungkin akan berlaku selepas peningkatan kadar SST baru ini. Selain itu, perkhidmatan permainan digital juga tidak terkecuali dengan platform seperti PlayStation Network, EA Play dan PC Game Pass dijangka akan meningkat kos langganannya.

Dalam pada masa yang sama, kerajaan memaklumkan beberapa perkhidmatan tidak akan mengalami kenaikan 2% tersebut. Ini termasuk makanan dan minuman (F&B), dan telekomunikasi kerana kedua-dua sektor ini amat penting untuk rakyat. Turut menerima pengecualian kenaikan SST tersebut termasuklah parkir dan perkhidmatan logistik.

Kenaikan kadar SST ini merupakan sebahagian dari rancangan kerajaan untuk meningkatkan hasil bagi tujuan penambahbaikan infrastruktur awam di dalam negara. Ketika sesi pembentangan Belanjawan 2024 yang lalu, pihak kerajaan turut memperkenalkan cukai barangan mewah dan menguatkuasakan cukai keuntungan modal.

Tinggalkan komentar