Google telah menambahkan satu lagi fungsi berguna ke dalam Google Lens. Kali ini ianya adalah alat pengecaman objek berbilang fungsi. Anda kini boleh menyalin dan menampal nota bertulisan tangan dari telefon anda ke komputer anda melalui Lens. Itupun kalau tulisan tersebut ditulis dengan kemas.

Untuk menggunakan fungsi ini, apa yang anda perlu lakukan adalah mengemaskini Google Chrome dan Google Lens pada peranti Android anda ke versi terkini.

Bagi pengguna peranti iOS pula, anda perlu mengemaskini aplikasi Google terlebih dahulu kerana fungsi Lens pada peranti Apple melalui satu butang bersebelahan bar carian. Anda juga perlu melog masuk ke akaun Google yang sama pada kedua-dua belah peranti.

Seterusnya, halakan kamera anda pada mana-mana teks bertulisan tangan, sorotkannya, dan kemudian pilih Copy. Anda kemudian boleh pergi ke mana-mana dokumen di dalam Google Docs, pilih Edit, dan seterusnya Paste teks berkenaan. Teks yang disalin tadi akan ditampal pada dokumen Google Docs anda. Google Docs boleh dibuka menerusi pelayar web komputer anda.

Fungsi ini bagaimanapun tidak mampu menawarkan salinan yang sempurna. Ianya bergantung pada keadaan terutamanya tahap kekemasan tulisan tangan tersebut. Jika tulisan anda seperti cakar ayam, kemungkinan untuk typo adalah amat besar. Apa pun, fungsi sebegini sewajarnya disambut dengan baik oleh pengguna.

Selain dari fungsi salin dan tampal, Google turut memperkenalkan alatan penyebutan (pronounciation). Anda hanya perlu sorotkan pada satu-satu perkataan melalui Lens, dan seterusnya ketik pada “Listen” untuk mendengar bagaimana ianya dibunyikan.

Alatan penyebutan ini kini terdapat pada Android dan untuk iOS dijangka bakal hadir tidak berapa lama lagi. Bagi ibu bapa yang rajin membantu anak-anak memyiapkan kerja sekolah di rumah, fungsi ini pastinya amat membantu.

Muat turun Google Lens di Play Store

Tinggalkan komentar