Google telah menerbitkan satu lagi doodle khas untuk laman webnya bagi versi Malaysia. Kali ini syarikat enjin carian terkemuka dunia berkenaan memberikan penghormatan kepada kartunis dan juruanimasi tersohor Malaysia, Kamn Ismail atau nama sebenarnya Kamarudin Ismail.

Industri animasi Malaysia banyak menerima jasa beliau terutamanya yang melibatkan penggunaan teknologi komputer dan digital dalam penjanaan animasi sejak dari era 90’an. Usaha beliau ini telah merintis jalan kepada penghasilan animasi Malaysia yang kian bermutu pada hari ini seperti Upin dan Ipin, Boboiboy, Ejen Ali, Didi and Friends, Bola Kampung, dan sebagainya.

Tarikh pada hari ini diambil bersempena hari kelahiran beliau yang jatuh pada 8 Februari 1956 di Pengkalan Balak, Masjid Tanah Melaka. Bakat di dalam bidang seni lukis dan animasi beliau mula berputik ketika beliau bersekolah di Methodist Boys School Sentul.

Pada tahun 1975, beliau menyertai firma perfileman dari United Kingdom MacLean and Company di dalam Bahagian Sutradara Seni bagi pembikinan filem Paper Tiger. Sebahagian penggambaran filem tersebut dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan juga Cameron Highland dan beliau banyak menimba pengalaman dari situ.

Pun begitu, pengalaman beliau tersebut tidak dapat dimanfaatkan di Malaysia pada ketika itu atas faktor perkembangan industri seni semasa yang tidak mengizikan pada sekitar 80’an dan awal 90’an. Sepanjang tempoh tersebut, beliau telah bekerja sebagai kerani di Keretapi Tanah Melayu (KTM) atas nasihat ayah beliau. Pada masa itu juga, beliau dikatakan telah curi-curi belajar ilmu menghasilkan animasi berkomputer.

Menghasilkan Usop Sontorian

Dari 1991 sehingga 1997, bakat beliau ditagih oleh Kharisma Pictures bagi menghasilkan animasi Usop Sontorian yang berdasarkan watak yang dicipta oleh seorang lagi kartunis legenda, Ujang atau nama sebenarnya Ibrahim Anon. Animasi Usop Sontorian merupakan siri animasi Malaysia pertama yang disiarkan untuk tontonan umum di kaca televisyen. Rancangan yang ditayangkan di TV1 (RTM) ini mempunyai 49 episod dan dihasilkan oleh 94 orang tenaga kerja anak watan.

Kamn Ismail seterusnya menyertai UAS Animation Studios pada 1997 sebagai Pengarah dan seterusnya membawa kepada kemunculan karya agung beliau, Keluang Man. Siri tersebut menjadi animasi tempatan pertama yang menggabungkan animasi 2D dan 3D untuk latar belakangnya dan menerima sambutan hangat dari penonton pada tahun ia mula diperkenalkan.Kamn-Ismail.jpg

Selain dari usaha gigih tersebut, beliau bersama-sama dua lagi perintis animasi tempatan Hassan Abd Muthalib dan Hisham Harun Hashim menubuhkan Animation Society of Malaysia (Animas) pada tahun 2001. Penubuhan persatuan tersebut bertujuan mewujudkan kesedaran di kalangan orang ramai mengenai industri animasi tempatan.

Pengasas bersama Animas, Hassan Abd Muthalib pula lebih dikenali menerusi hasil kerja animasi pendek beliau, Hikayat Sang Kancil yang diterbitkan oleh Filem Negara Malaysia. Nama Hassan Muthalib juga pernah disebut di dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah yang diarahkan oleh Mamat Khalid. Bersama-sama dengan Hisham, mereka berdua bergandingan menghasilkan filem animasi Silat Legenda.

Pada tahun yang sama juga, Kamn Ismail menubuhkan syarikat beliau sendiri Quest Animations yang menghasilkan Che Nat, Kumang, Toman 1, Kumang Lagenda Sarawak, Lagenda Kinabalu, Pusaka, Pejuang, Duwi, dan Kiddo Science World.

Beliau kemudian bersara pada tahun 2016 atas faktor kesihatan dan sempat menyiapkan projek terakhir beliau yang memenangi pelbagai anugerah, Mat Kilau. Ilmu beliau terus dikembangkan kepada generasi muda apabila beliau turut menjadi pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif di Akademi Seni, Budaya dan Warisan (ASWARA) sehingga beliau menghembus nafas terakhir pada 2019.

Tinggalkan komentar