Google dilaporkan telah memaklumkan kepada pentadbiran Presiden Trump bahawa sekatan akses Huawei ke Android berpotensi memberi ancaman keselamatan terhadap Amerika Syarikat.
Buat masa ini, Google masih lagi menyediakan kemas kini perisian untuk peranti Huawei yang berada di bawah lesen sementara selama 90 hari. Selepas tempoh 90 hari tersebut, Google akan diarahkan untuk menghentikan sebarang sokongan perkhidmatan untuk mana-mana peranti Huawei.
Android versi ‘buatan sendiri’
Jadi bagaimanakah pengharaman tersebut menjejaskan keselamatan negara AS? Memandangkan, peranti-peranti Huawei sememangnya sudah diharamkan di Amerika Syarikat? Nah, ini semua berpunca dari kemungkinan bahawa Huawei akan menggunakan versi Android hibrid, atau ‘forked’ pada perantinya jika larangan tersebut berkuatkuasa sepenuhnya.
Sungguhpun dikenakan sekatan, Huawei masih lagi dapat menggunakan versi asas, sumber terbuka Android pada peranti mereka. Walau bagaimanapun, peranti berkenaan tidak akan mempunyai akses kepada aplikasi-aplikasi Google termasuk Youtube, Gmail, dan Google Play Store; serta kemas kini keselamatan dari Google.
Menurut Financial Times, versi Android buatan sendiri ini akan lebih terdedah kepada ancaman oleh pihak-pihak lain termasuk kerajaan negara China. Hal ini disebabkan oleh perkhidmatan-perkhidmatan Google seperti Google Play Protect yang melindungi peranti anda daripada ancaman malware dan sebagainya tidak boleh dimasukkan ke dalam versi buatan sendiri Huawei ini.
Di samping itu, larangan tersebut juga menyebabkan pengguna terpaksa mencari alternatif kepada Google Play Store untuk mendapatkan aplikasi. Aplikasi di Play Store seperti yang sedia maklum, diwajibkan untuk menjalani pelbagai peringkat pemeriksaan keselamatan sebelum ianya tersedia kepada kegunaan umum.
Kerentanan yang dijangkakan berlaku pada peranti-peranti Huawei ini kelak dikhuatiri bakal membocorkan maklumat sensitif yang melalui peranti ini, seterusnya memberi ancaman keselamatan yang nyata terhadap AS.
Bloomberg baru-baru ini melaporkan Huawei masih lagi belum menjalankan rundingan secara terus dengan kerajaan AS dan setakat ini masih menunggu perkembangan selanjutnya.
Sumber berita diperoleh dari The Verge













