Bagi anda yang sudah lama menggunakan Windows, mungkin anda pernah mendengar kaedah menghidupkan ‘God Mode’. Ianya mungkin kedengaran terlalu epik, bergantung kepada persepsi masing-masing.

Namun, secara ringkasnya ia adalah fungsi yang menempatkan akses-akses ke seluruh panel kawalan sistem operasi anda di dalam satu folder.

Malahan nama asalnya adalah Windows Master Control Panel shortcut (pintasan panel kawalan induk Windows). Nama ‘God Mode’ adalah panggilan suka-suka oleh pembangun-pembangun Windows dahulu, tetapi nama tersebut telah melekat.

Untuk menghidupkan ‘God Mode’ ini sebenarnya, siapa-siapa pun boleh melakukannya. Cuma, untuk apa anda memerlukannya?

Jika anda mengetahui dan faham tentang apa yang anda lakukan, ianya mungkin tidak menimbulkan masalah. Tetapi, jika anda tersilap langkah dalam mengubah tetapan di dalam ‘God Mode’ ini, anda mungkin boleh menyebabkan sistem operasi komputer anda rosak.

‘God Mode’ boleh dianggap sebagai ‘jalan belakang’ kepada sistem operasi anda mengakses ke seluruh tetapan. Sekadar menghidupkannya sahaja tanpa mengubah apa-apa tidak memberikan sebarang kesan. Oleh itu, jika anda ingin mengusik mana-mana tetapan di dalam mod ini, pastikan anda sudah membuat backup untuk OS anda.

Membuka ‘God Mode’ di dalam Windows 10

  1. Pastikan sistem akaun anda mempunyai administrative privileges.
  2. Klik kanan pada mana-mana ruangan desktop Windows 10 dan pilih New > Folder
  3. Namakan folder tersebut: GodMode.{ED7BA470-8E54-465E-825C-99712043E01C} dan tekan kekunci Enter. Seterusnya, buka folder berkenaan seperti biasa.

Sebenarnya anda boleh meletakkan apa-apa sahaja nama pada folder tersebut seperti PicangGoyeng mode, misalnya. Gantikan sahaja ‘GodMode’ pada sebelum aksara {….} dengan apa-apa sahaja yang anda mahu.

Itu sahaja. Kini, apabila anda membuka folder tersebut anda akan melihat lebih kurang 40 tetapan berbeza yang merangkumi, Devices and Printers, Credential Manager, Indexing, dan sebagainya. Tetapan ini bergantung pada versi Home atau Pro dan juga jenis perkakasan.

Secara keseluruhannya, fungsi ini hanya bertujuan meletakkan seluruh tetapan di dalam panel kawalan (control panel) Windows ke dalams satu tempat.

Tinggalkan komentar