Penduduk di Gelang Patah, Johor dilaporkan mengadakan demonstrasi membantah projek pembinaan pusat data berhampiran kawasan kediaman.

Kebimbangan mengenai isu alam sekitar dan kesihatan yang berpunca daripada projek tersebut disuarakan dalam bantahan tersebut.

Demonstrasi tersebut diadakan di luar tapak pembinaan sebuah fasiliti yang sedang dibangunkan untuk syarikat teknologi dari China, Zdata Technologies Co.

Lebih daripada 50 orang penunjuk perasaan berkumpul di lokasi yang terletak kurang satu kilometer dari kawasan kediaman mereka. Bantahan tercetus akibat rasa tidak puas hati penduduk yang mendakwa kehidupan harian terjejas teruk akibat aktiviti pembinaan tersebut.

Isu Pencemaran dan Kesihatan

Menurut laporan Bloomberg, projek tersebut telah menjadi punca tekanan dalam kehidupan harian bagi penduduk setempat. Mereka mendakwa debu pembinaan yang tebal menyebabkan kesukaran membersihkan rumah kediaman dan menikmati udara segar.

Situasi dilaporkan menjadi kritikal sehingga penunjuk kualiti udara pada alat pembersih udara (air purifiers) di kediaman sering menunjukkan tahap yang berbahaya. Selain itu, aktiviti harian seperti menyidai pakaian di luar rumah juga tidak lagi dapat dilakukan akibat pencemaran debu yang teruk.

Sebelum ini, projek yang sama dilaporkan pernah berdepan tindakan penguatkuasaan. Pihak berkuasa tempatan mengeluarkan arahan henti kerja selama dua minggu pada akhir tahun 2025 disebabkan piawaian pembinaan yang lemah.

Bagaimanapun, ketegangan antara pemaju dan komuniti setempat kembali memuncak sebaik sahaja kerja-kerja pembinaan disambung semula.

Kebimbangan Jaminan Bekalan Air

Selain isu pencemaran udara, penduduk turut bimbang mengenai jaminan bekalan air. Johor sebelum ini telah membekukan kelulusan untuk pusat data Tahap 1 dan 2 (Tier 1 & 2) disebabkan penggunaan air yang sangat tinggi, yang boleh mencecah sehingga 50 juta liter sehari bagi sesetengah fasiliti.

Walaupun Zdata memperoleh kelulusan sebelum larangan tersebut dikuatkuasakan, status tahap (tier) fasiliti berkenaan serta unjuran penggunaan airnya masih belum dijelaskan. Hal ini sekaligus menimbulkan keresahan penduduk mengenai impaknya terhadap bekalan air tempatan.

Perubahan Dasar Pembinaan Pusat Data Johor

Bantahan penduduk di Gelang Patah ini berlaku tidak lama selepas perubahan besar dalam cara kerajaan negeri Johor menguruskan infrastruktur digital.

Pada penghujung tahun 2025, kerajaan negeri telah beralih daripada pendekatan “kelulusan menyeluruh” kepada garis panduan yang lebih ketat bagi melindungi sumber tempatan.

Rangka kerja baharu ini memberi keutamaan kepada pusat data “hijau” yang menggunakan teknologi penyejukan mampan dan sumber tenaga boleh diperbaharui.

Di bawah peraturan yang disemak semula ini, pemaju kini diwajibkan untuk membuktikan bahawa projek mereka akan menyediakan pekerjaan bernilai tinggi dan impak ekonomi yang signifikan kepada komuniti setempat.

Tinggalkan komentar