Geely Holding Group memperoleh 7.6% pegangan saham di dalam pengeluar kereta mewah Britain Aston Martin Lagonda Global Holding, seterusnya mengukuhkan kedudukannya di dalam jenama mewah Eropah.
Pegangan ini bagaimanapun dijangka tidak akan memberikan Geely kelebihan untuk membuat keputusan-keputusan utama pengeluar kereta mewah berkenaan. Geely yang juga memiliki Lotus dan juga pemegang saham utama Polestar, Volvo dan Proton telah mengambil 10% pegangan bernilai $10 billion di dalam syarikat induk Mercedes-Benz, Daimler pada 2018.
Geely pada ketika itu juga tidak mendapat tempat sebagai lembaga pemegang saham utama, namun mampu mempengaruhi syarikat seperti mendapatkan sebahagian pemilikan jenama kereta Smart.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Geely Donghui Li, rekod prestasi yang baik dan penawaran teknologi dari Geely mampu memberikan sumbangan terhadap kejayaan Aston Martin di masa akan datang.
Aston Martin dan Geely bagaimanapun tidak mengumumkan nilai keseluruhan transaksi yang melibatkan pegangan saham ini.










