Acara larian Garmin Run Asia Series 2025 telah berlangsung dengan jayanya di Dataran Putrajaya pada 3 November 2025, menarik penyertaan lebih 13,000 pelari. Memasuki tahun keempat penganjurannya, acara larian yang dinanti-nantikan ini sekali lagi membawakan tema “From Zero to Hero”, memperkasa para peserta untuk mengatasi had diri, meraikan kemajuan, dan mengambil alih tanggungjawab terhadap kesihatan serta kecergasan mereka.
Kejayaan acara ini meneruskan pencapaian edisi 2024 yang menyaksikan penyertaan hampir 100,000 pelari di sembilan rantau Asia. Pada tahun 2025, siri larian ini diperluas ke sepuluh destinasi, termasuk Malaysia, Indonesia, Taiwan, Vietnam, Singapura, Korea, Thailand, Filipina, Hong Kong, dan Jepun, menyatukan komuniti pelari yang semakin berkembang di bawah matlamat yang sama. Acara dimulakan dengan sesi memanaskan badan yang bertenaga diketuai oleh rakan gim rasmi, Fitness First.
“Garmin Run Asia Series telah menjadi lebih daripada sekadar perlumbaan, ia adalah perayaan pertumbuhan, keazaman setiap pelari untuk menjaga kesihatan mereka dan mengukuhkan komuniti larian tempatan. Setiap tahun, kami menyaksikan kisah-kisah inspirasi pelari yang mengatasi cabaran dan mentakrifkan semula apa yang mungkin untuk diri mereka sendiri,” menurut Encik Scoppen Lin, Penolong Pengurus Besar Garmin Asia.
Acara ini turut diserikan dengan kehadiran beberapa pelari elit tempatan, termasuk pemenang pingat Sukan SEA dua kali, Muhaizar Mohamad, dan Yeow Ni Jia, yang akan mewakili Malaysia di Sukan SEA 2025 di Thailand pada Disember ini.
Pemenang Utama Garmin Run Asia Series 2025 – Malaysia
Berikut adalah senarai pemenang bagi beberapa kategori utama:
- 21KM Terbuka Lelaki: Ni Jia Yeow (01:14:24)
- 21KM Veteran Lelaki: Muhaizar Mohamad (01:20:12)
- 21KM Terbuka Wanita: Chi-Wen Hung (01:27:57)
- 21KM Veteran Wanita: Tiffany Lee Siok Chin (01:34:05)
- 10KM Terbuka Lelaki: Ruveshwaran Balachandran (00:34:42)
- 10KM Terbuka Wanita: Nurul Juliana Shakira Abdul Halim (00:43:13)
Tahun ini juga menandakan pencapaian penting bagi komuniti Garmin Run Club Malaysia yang telah berkembang melangkaui Lembah Klang ke negeri lain seperti Johor, Pulau Pinang dan Ipoh. “Semangat Garmin Run sentiasa mengenai perpaduan melalui pergerakan. Melihat pelari dari setiap pelosok Malaysia, termasuk mereka yang datang dari luar negara, berkumpul hari ini, benar-benar menghidupkan semangat itu,” kata Sheena Sim, Ketua Pasukan Pemasaran Garmin Malaysia.
Secara keseluruhannya, Garmin Run Asia Series 2025 berjaya menyatukan ribuan individu dalam satu perayaan kesihatan, daya tahan, dan semangat komuniti yang jitu. Pemenang yang berprestasi tinggi membawa pulang hadiah bernilai lebih RM192,000 dalam bentuk wang tunai dan barangan tajaan daripada rakan kongsi rasmi seperti jam tangan larian Garmin, produk aminoVITAL, dan peralatan audio Shokz. Kejayaan acara ini mencerminkan komitmen berterusan Garmin dalam memupuk dan memperkukuh budaya larian di Malaysia.













