Tahun 2020 ini boleh dianggap sebagai tahun konsol permainan genarasi berikutnya apabila dua syarikat pengeluar konsol utama memperkenalkan produk terkini masing-masing pada tahun ini juga.
Sony pada sebelum ini pernah menyatakan pihaknya akan mula memasarkan PlayStation 5 menjelang musim jualan hujung tahun 2020.
Pengeluar konsol permainan popular ini juga turut mendedahkan beberapa perincian spesifikasi berkenaan konsol tersebut. Antaranya penggunaan storan pemacu keadaan pejal berkelajuan ultra-tinggi, ray-tracing berasaskan perkakasan, CPU AMD Ryzen tersuai, GPU AMD Radeon berasaskan senibina Navi, serta banyak lagi.
Tidak seperti Microsoft, Sony bagaimanapun setakat ini masih lagi belum mendedahkan rekaan fizikal konsol PlayStation 5. Apa yang diketahui setakat ini hanyalah kit pembangunannya yang telah tersebar di dalam talian. Malahan, harga rasmi di pasaran untuk konsol berkenaan turut belum didedahkan lagi.
Namun begitu, hal ini tidak menghalang pengedar permainan elektronik tempatan, Gamers Hideout mengumumkan pra-tempahan untuk PlayStation 5. Berdasarkan kenyataannya yang dikeluarkan di dalam laman rasmi Facebooknya, para peminat boleh membuat pra-tempahan konsol berkenaan dengan menyediakan deposit sebanyak RM99.90.
Langkah ini dilihat masih terlalu awal memandangkan banyak lagi info rasmi berkenaan PlayStation 5 masih lagi belum diketahui. Pastinya, kedatangan PlayStation 5 ke pasaran Malaysia sememangnya dinanti-nantikan oleh para peminat permainan elektronik.
Sumber maklumat dari Facebook Gamers Hideout












