Tidak sampai lebih dari seminggu selepas acara Galaxy Unpacked, Samsung pada hari ini secara rasminya telah mengumumkan Galaxy Z Fold3 di Malaysia. Pra-tempahan bagi telefon Samsung baharu ini akan mula dibuka pada hari Khamis ini, 19 Ogos.

Anda boleh memilih sama ada Galaxy Z Fold3 versi storan 256GB yang berharga RM 6,699. Atau versi yang lebih tinggi dengan storan 512GB pada harga RM 7,099.

Harga bagi Galaxy Z Fold3 dilihat lebih rendah jika dibandingkan dengan Z Fold2 yang berharga RM 7,999 ketika dilancarkan di pasaran tempatan pada September tahun lalu.

Pada masa yang sama, anda yang membuat pra-tempahan Z Fold 3 ini akan menerima e-baucar yang bernilai RM 850 yang boleh digunakan di kedai dalam talian Samsung Malaysia.

Pembelian juga akan disertakan bersama-sama pakej perlindungan Samsung Care+ selama setahun. Program pra-tempahan untuk Galaxy Z Fold3 di Malaysia akan bermula dari 19 Ogos ini sehingga 21 September. Anda boleh mendapatkannya melalui kedai dalam talian rasmi Samsung Malaysia serta kedai-kedai fizikal seperti Samsung Experience Stores dan wakil jualan yang sah di seluruh negara.

Tinggalkan komentar