Samsung dijangka akan melancarkan siri telefon pintar boleh lipat baharunya, Galaxy Z Flip 7 dan Galaxy Fold 7 pada Julai ini. Seperti biasa, peranti-peranti yang akan datang ini sering diperkatakan desas-desusnya. Pemprosesan untuk Flip 7 menarik untuk diperhatikan diskusinya kerana buat ini terdapat percanggahan pendapat tentangnya.

April lalu, digembar-gemburkan Flip 7 akan dilengkapkan dengan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Elite. Kemudiannya, telefon pintar boleh lipat berbentuk cengkerang ini akan menggunakan pemprosesan Samsung Exynos 2500 pula.

Kini, laporan terkini oleh penerbitan dari Korea Selatan Hankyung pula mendakwa Exynos 2500 akan hanya digunakan untuk versi yang dilancarkan di Korea Selatan sahaja. Lain-lain pasaran akan menggunakan Snapdragon 8 Elite.

Ini bukanlah kali pertama Samsung menawarkan pemprosesan yang berbeza untuk model yang sama mengikut pasaran masing-masing. Terdapat banyak sebab mengapa sesebuah syarikat menggunakan pemprosesan-pemprosesan yang berbeza. Untuk hal ini, terdapat andaian yang disebabkan oleh pengeluaran pemprosesan Exynos yang rendah dari sasaran.

Pun begitu, seperti biasa desas-desus ini masih lagi belum dapat dipastikan kesahihannya memandangkan ia bukan datang dari sumber rasmi Samsung. Jika benar, pengguna di pasaran selain Korea Selatan bakal menerima peranti yang lebih baik versinya memandangkan Snapdragon 8 Elite menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding pemprosesan Exynos terkini.

Tinggalkan komentar