Siri Samsung Galaxy Z Flip telah mengalami perubahan ketara sejak ia mula dilancarkan. Namun, kesan lipatan pada skrinnya yang ketara menjadi salah satu cabaran dalam mereka bentuknya.
Berdasarkan perkembangan terkini, Samsung merancang untuk menangani isu ini melalui Galaxy Z Flip 6 yang akan dilancarkan tidak lama lagi, menurut portal teknologi Korea Selatan The Elec.
Penambahbaikan yang dijangka hadir melalui Galaxy Z Flip 6
- Kaca Ultra-Nipis yang Lebih Tebal: Samsung berhasrat untuk menggunakan versi kaca ultra-nipis yang lebih tebal untuk Galaxy Z Flip 6. Ketebalannya dijangka akan meningkat dari 30μm kepada 50μm. Peningkatan ini bertujuan untuk mengurangkan kesan kedutan lipatan skrin selain meningkatkan pengalaman visual secara keseluruhan.
- Penambahbaikan Ketahanan: Kaca yang lebih tebal juga dijangka meningkatkan kelasakan dan ketahanan peranti boleh lipat ini kelak. Ia menjadikannya lebih tahan lasak untuk kegunaan harian.
- Peningkatan Tambahan: Khabar angin juga mengatakan Galaxy Z Flip 6 akan menampilkan kamera yang ditambah baik, menggunakan binaan titanium, penggunaan pemprosesan Exynos, paparan luar yang lebih besar, dan bateri yang lebih besar dari model sebelumnya.
Penambahbaikan di Masa Hadapan
Walaupun kaca ultra-nipis yang lebih tebal dalam Galaxy Z Flip 6 dijangka akan mengurangkan lipatan skrin. Namun, ia tidak semestinya menghilangkan kesan tersebut sepenuhnya.
Walau bagaimanapun, penambahbaikan ini merupakan langkah ke hadapan yang positif. Ia merupakan usaha berterusan dalam melaksanakan penambahbaikan secara berperingkat yang dilihat dalam siri Galaxy Z Fold.
Langkah ke hadapan untuk Galaxy Z Flip 7
Perubahan yang lebih besar pada kaedah lipatan skrin dan engsel telefon pintar boleh lipat keluaran Samsung ini dijangka akan diperkenalkan pada Galaxy Z Flip 7 yang mungkin diperkenalkan pada tahun hadapan.
Penambahbaikan tersebut mungkin merangkumi kaca yang lebih tebal lagi untuk meminimumkan kesan lipatan serta meningkatkan daya ketahanannya.
Tarikh jangkaan pelancaran siri Galaxy Z untuk tahun 2024
Samsung dijangka akan melancarkan peranti boleh lipat baharunya termasuk Galaxy Z Flip 6 dan Galaxy Z Fold 6, pada Julai 2024. Nantikan pengumuman baharu berkenaan maklumat terkini berkenaan peranti keluaran Samsung di Harian Teknologi.













