Khabar angin mengatakan Samsung mungkin akan memperkenalkan telefon pintar boleh lipat generasi baharu lebih awal dari yang dijangkakan. Biasanya Samsung akan melancarkan siri Galaxy Z sekitar bulan Ogos tiap-tiap tahun. Namun untuk tahun ini terdapat ura-ura yang mengatakan Samsung akan melancarkan pada Julai ini.

Menurut laporan dari Chosun Media, Samsung dijangka akan mengadakan acara Galaxy Unpacked untuk pengumuman Galaxy Z Flip 5 dan Galaxy Z Fold 5 pada 26 Julai 2023.

Ia dua minggu lebih awal berbanding tempoh biasa Samsung membuat pengumuman untuk telefon pintar boleh lipat. Tambahan pula, acara kali ini mungkin akan diadakan di Seoul, Korea Selatan.

Berbanding acara Galaxy Unpacked sebelum ini yang diadakan di Barcelona, Sepanyol atau di San Francisco, Amerika Syarikat. Galaxy Z Flip 5 dan Galaxy Z Fold 5 juga dijangka akan mula dijual pada 11 Ogos 2023.

Desas-desus mengatakan Galaxy Z Flip 5 dan Galaxy Z Fold 5 mungkin akan membawakan perubahan rekaan struktur yang besar.

Kedua-duanya juga akan menggunakan rekaan engsel berbentuk titisan air baharu yang mengurangkan kesan kedutan yang kelihatan di bahagian tengahnya, selain dapat menjadikan lipatan telefon pintar ini lebih rapat. Galaxy Z Flip 5 dan Z Fold 5 juga dijangka akan mengekalkan penarafan kerintangan air IPX7 dan akan menggunakan pemprosesan Snapdragon 8 Gen 2.

Tinggalkan komentar