Samsung secara rasminya telah memperkenalkan set kepala realiti lanjutan (XR) baharu yang dinamakan Galaxy XR. Produk yang sebelum ini dikenali dengan kod nama “Project Moohan” ini dilihat sebagai jawapan Samsung kepada Apple Vision Pro. Ia menampilkan integrasi mendalam bersama kecerdasan buatan (AI) Google Gemini.

Pelancaran Galaxy XR menandakan kemunculan kategori peranti natif-AI yang baharu. Set kepala yang beroperasi menggunakan sistem operasi Android XR, meletakkan arahan suara melalui Google Gemini sebagai salah satu kaedah interaksi utamanya.​

Untuk navigasi dalam antara muka pengguna dan aplikasi, Galaxy XR bergantung pada gerak isyarat tangan. Antara yang menarik fungsi “Circle To Search” versi set kepala ini membolehkan pengguna melukis bulatan di udara menggunakan tangan pada objek (maya atau nyata) untuk memulakan carian maklumat.

Turut disediakan sebagai pilihan tambahan, alat kawalan fizikal Galaxy XR Controllers dijual secara berasingan pada harga USD250 (~RM1,057).​

Samsung turut menjanjikan pengalaman tontonan dan interaksi yang imersif melalui beberapa aplikasi yang dioptimumkan seperti:

  • Google Maps: Meneroka dunia dalam bentuk 3D melalui pilihan Immersive View.
  • Google Photos: Menukar gambar dan video 2D sedia ada kepada format 3D dengan mudah.
  • YouTube: Menonton kandungan VR 180° dan 360° serta kandungan 3D spatial.
  • Adobe Project Pulsar: Mencipta teks 3D, aset, dan kesan spatial untuk video sosial.
  • Netflix for XR: Melaraskan saiz skrin tontonan dengan mudah hanya dengan menarik bucu skrin.

Bagi tujuan produktiviti, pengguna boleh menyambungkan set kepala Galaxy XR dengan komputer riba Galaxy Book berasaskan Windows 11 untuk memanfaatkan ruang tontonan yang luas.​

Dari segi harga, Galaxy XR ditawarkan pada USD1,799.99 (~RM7,613), jauh lebih rendah berbanding Apple Vision Pro yang bermula pada harga USD3,499 (~RM14,796).​

Spesifikasi Galaxy XR

  • Pemproses: Qualcomm Snapdragon XR2+ Gen 2
  • Memori (RAM): 16GB
  • Storan: 256GB
  • Paparan: Dwi-paparan Micro-OLED dengan resolusi 3,552 x 3,840, kadar segar semula sehingga 90Hz, dan medan pandangan 109° (mendatar) x 100° (menegak).
  • Kamera:
    • 1 kamera 6.5MP f/2.0 untuk rakaman foto dan video 3D.
    • 2 kamera pass-through beresolusi tinggi.
    • 6 kamera penjejakan (world-facing).
    • 4 kamera penjejakan mata.
  • Sensor: 5 sensor Unit Pengukuran Inersia (IMU), 1 sensor kedalaman, 1 sensor kelipan, dan 6 tatasusunan mikrofon.
  • Audio: Sepasang pembesar suara 2-hala untuk audio spatial.
  • Bateri: Dikuasakan oleh pek bateri luaran yang boleh bertahan sehingga 2 jam untuk penggunaan umum atau 2.5 jam untuk main balik video. Ia boleh digunakan semasa sedang dicas.

Kehadiran Galaxy XR mengukuhkan kedudukan Samsung dalam pasaran realiti lanjutan yang sedang berkembang.Harga yang lebih kompetitif dan integrasi AI yang mendalam, menjadikannya alternatif yang menarik kepada pengguna dalam ekosistem Android.

Tinggalkan komentar