Tinggal beberapa bulan sahaja lagi sebelum Samsung mengumumkan secara rasmi siri Galaxy S26. Seperti biasa maklumat tertiris dan desas-desus mengenainya telah pun tersebar di serata pelusuk ruangan maya.

Tidak lama selepas rekaan model Ultra tertiris, maklumat baharu yang ditiriskan telah timbul. Kali ini mendakwa model berkenaan akan menampilkan ciri Privacy Display.

Privacy Display atau pelindung skrin privasi merupakan ciri yang mengehadkan sudut tontonan paparan tersebut. Hanya pengguna yang melihat secara tegak pada skrin dapat melihat kandungan di dalamnya dan orang lain yang melihat dari sudut lain tidak dapat melihat. Ini bermakna, orang lain tidak dapat mengintai apa yang dipaparkan pada telefon pintar pengguna terbabit.

Ciri ini pertama kali diketemukan di dalam kod One UI 8.5 dan pengguna @achultra di platform X telah berkongsikan tangkapan layar yang menunjukkan perincian ciri tersebut.

Berdasarkan tangkapan layar, pengguna dijangka dapat menetapkan Privacy Display untuk diaktifkan secara automatik jika berada di tempat-tempat sesak seperti di dalam lif atau di dalam pengangkutan awam.

Selain itu, ia juga boleh diaktifkan jika pengguna membuka aplikasi sensitif seperti perbankan atau dokumen-dokumen kerja. Terdapat juga pilihan untuk menetapkan keadaan secara manual. Satu togol Maximum Privacy yang berasingan pula juga boleh memalapkan skrin apabila Privacy Display diaktifkan.

Selain dari itu, pengguna juga dijangka mempunyai lebih kawalan terhadap keterbolehlihatan (visibility) untuk kandungan tertentu. Turut disediakan bersama pilihan untuk kunci skrin seperti PIN, paten dan kata laluan. Selain itu, pengguna juga boleh menyorokkan imej-imej tertentu dan pilihan menutup imej dengan maklumat peribadi serta yang dilindungi. Tidak ketinggalan, pilihan untuk menutupkan bahagian tertentu pada skrin seperti notifikasi.

Tinggalkan komentar