Siri telefon pintar mercu Samsung yang dinanti-nantikan, Galaxy S26, dilaporkan bakal dilancarkan pada 25 Februari 2026. Menurut Money Today, acara Galaxy Unpacked 2026 dijangka akan diadakan di San Francisco, Amerika Syarikat. Tarikh tersebut sedikit lewat berbanding jadual pelancaran tahun-tahun sebelumnya.​

Laporan daripada media Korea Selatan itu juga mendedahkan Samsung mungkin menunda pelancaran siri Galaxy S26. Kebiasaannya bacara tersebut berlangsung pada akhir Januari atau awal Februari setiap tahun.

Kelewatan ini didakwa berpunca daripada perubahan terkini dalam barisan peranti syarikat gergasi teknologi Korea Selatan itu.​

Pemilihan San Francisco sebagai lokasi pelancaran juga bersifat strategik, selari dengan status bandar tersebut sebagai hab inovasi Kecerdasan Buatan (AI).

Memandangkan Samsung semakin giat mengintegrasikan ciri AI pada perantinya, langkah ini dilihat sebagai pilihan yang ideal. Kali terakhir Samsung memperkenalkan model baharunya di San Francisco adalah ketika pelancaran siri Galaxy S23.​

Terdapat juga perubahan dalam barisan model yang dirancang. Laporan sebelum ini menyebut tentang pengenalan model Galaxy S26 Pro dan Galaxy S26 Edge, namun Samsung dilaporkan telah memutuskan untuk tidak meneruskan model Galaxy S26 Edge.

Keputusan ini dibuat berikutan jualan model Galaxy S25 Edge yang kurang memberangsangkan, menyebabkan Samsung kembali kepada struktur penawaran model tradisionalnya.​

Desas-desus spesifikasi

Dari segi spesifikasi, siri Galaxy S26 dijangka membawa peningkatan prestasi yang ketara melalui penggunaan cip pemprosesan baharu:

  • Samsung Exynos 2600: Sekurang-kurangnya sebahagian model Galaxy S26 akan dikuasakan oleh cip Exynos 2600. Ia bakal menjadi cip telefon pintar kelas 2nm pertama di dunia, menampilkan CPU 10-teras (ARM C1) dan GPU Xclipse 960 berasaskan AMD RDNA.
    Cip ini dijangka akan digunakan pada model Galaxy S26 dan S26+ di semua negara kecuali Kanada, China, dan Amerika Syarikat.​
  • Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy: Model tertinggi, Galaxy S26 Ultra, dijangka akan menggunakan cip Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5 secara eksklusif. Cip ini dihasilkan menggunakan nod proses 3nm oleh TSMC.​

Walaupun maklumat ini memberikan gambaran awal mengenai rancangan Samsung, tarikh dan butiran rasmi masih tertakluk kepada pengesahan daripada syarikat itu sendiri. Kemunculan cip Exynos 2nm dan strategi penggunaan cip yang berbeza antara model standard dan Ultra bakal menjadi antara tumpuan utama pada pelancaran siri Galaxy S26 kelak.

Tinggalkan komentar