Kemunculan Samsung Galaxy Fold di dalam media-media arus perdana didepani dengan masalah-masalah yang diluar jangka pada peranti berkenaan. Unit-unit yang disediakan untuk wakil media kebanyakan mengalami masalah pada paparannya.
Antara masalah yang dilaporkan pada paparannya termasuklah paparan yang sentiasa berkelip-kelip, kegagalan memberikan paparan penuh serta bonjolan yang terbentuk di bawah skrinnya.
Kesannya, Samsung terpaksa menangguhkan tarikh pelancarannya bagi memastikan peranti ini benar-benar dapat digunakan seperti yang diharapkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Samsung, DJ Koh telah mengakui Galaxy Fold tidak sepatutnya sedia untuk dilancarkan pada April lalu dan beliau turut merasakan ini adalah sesuatu yang memalukan buat pihaknya. Setakat ini Samsung ini telah menemukan punca kepada masalah-masalah tersebut dan kini sedang giat berusaha untuk memulihkannya. Beliau juga meminta orang ramai supaya bersabar dalam menantikan telefon pintar boleh lipat keluaran Samsung ini memasuki pasaran.
Selain dari Samsung, Huawei juga bakal memperkenalkan telefon pintar boleh lipat keluarannya yang pertama, Huawei Mate X. Namun, berdasarkan perkembangan semasa antara Huawei dan kerajaan A.S. yang baru sahaja menampakkan jalan penyelesaian, dijangkakan telefon pintar boleh lipat dari Huawei juga bakal ditangguhkan pelancarannya.
Sumber berita diperoleh dari 9to5Google













