Awal tahun ini ura-ura kehadiran telefon pintar Xiaomi yang akan datang dengan skrin kedua kecil di bahagian belakang seperti Mi 11 Ultra mula kedengaran. Kini, khabar angin tersebut semakin kencang dengan ciri tersebut akan dibawakan ke siri Xiaomi 16 yang dijangka akan dilancarkan di China tidak lama lagi.
Sejumlah foto-foto yang tersebar di media sosial menunjukkan peranti yang didakwa sebagai Xiaomi 16 Pro Max. Di dalam imej tersebut, bahagian belakang telefon pintar berkenaan kelihatan jelas dengan bonggol kamera merentas secara melintang. Dua kamera disusun secara menegak di sebelah kiri modul dengan selebihnya ruangan yang mungkin skrin kedua.
Foto tersebut bagaimanapun tidak menunjukkan bahagian yang didakwa sebagai skrin tersebut menyala. Agak sukar untuk menolak kemungkinan ruangan tersebut tidak mempunyai apa-apa memandangkan perisian Xiaomi juga menunjukkan ciri tersebut tersedia di dalam kod.
Setakat ini tiada kenyataan rasmi berhubung maklumat kamera tersebut. Namun mengambil kira jika benar skrin kedua hadir pada Xiaomi 16 Pro Max, kemungkinan fungsinya mirip dengan Mi 11 Ultra yang boleh dijadikan sebagai pemidang tilik (viewfinder) untuk swafoto, paparan notifikasi, dan pemberitahuan lain.
Xiaomi 16 Pro Max mungkin dilancarkan seawal 24 September ini bersama-sama pemprosesan baharu dari Qualcomm, Snapdragon 8 Elite Gen 5. Buat masa ini telefon pintar berkenaan masih belum dapat dipastikan akan hadir ke pasaran lain di dunia termasuk Malaysia.