Imej pengolokan siri Galaxy S22 oleh OnLeaks telah pun tertiris di internet lewat September lalu dan memberikan sedikit gambaran mengenai acara pelancaran utama Samsung pada tahun hadapan.
Apa yang mengejutkan dari maklumat yang tertiris mengenainya adalah rekaan varian Ultra siri tersebut yang amat berbeza dari model-model lain. Kini, foto terbaru yang didakwa sebagai model Galaxy S22 Ultra menguatkan lagi dakwaan dari OnLeaks.
Dikongsikan menerusi laman web FrontPage Tech, imej tersebut menunjukkan rekaan hadapan dan belakang peranti tersebut. Foto tersebut menunjukkan dengan lengkap paparan melengkung, kerangka berbucu tajam, serta S-Pen yang diintegrasikan pada penjuru bawah sebelah kirinya.
Laman web tersebut bagaimanapun tidak menyatakan sama ada dibekalkan oleh sumber dari luar, atau diambil dari unit pratonton Galaxy S22 Ultra.
Seperti yang didedahkan di dalam maklumat tertiris awal, susun atur kamera varian Ultra ini adalah berbeza dan tidak mempunyai bonggolan seperti yang terdapat pada Galaxy S21.
Walaubagaimanapun, tiada perincian lebih lanjut mengenai spesifikasi Galaxy S22 Ultra dikongsikan oleh FrontPage Tech. Berdasarkan maklumat yang diacah oleh Samsung tidak berapa lama sebelum ini, ketiga-tiga model ini mungkin dilengkapkan dengan cipset Exynos terkini. Berkemungkinan besar juga, cipset tersebut menampilkan teknologi AMD RDNA 2 untuk peningkatan prestasi pemprosesan dan grafik.
Menurut GSMArena pula, varian Ultra mungkin menampilkan perkakasan kamera yang sama seperti model yang terdahulu. Ia mengandungi sensor utama 108MP, dua sensor 10MP untuk telefoto dan periskop, serta sensor ultra luas 12MP.
Dalam pada masa yang sama, Ice Universe mendakwa keempat-empat kamera berkenaan akan menampilkan penstabil imej optikal (OIS). Malah, sensor telefoto dan periskop model berkenaan juga dikatakan akan dilengkapkan dengan teknologi pengezuman berterusan.
Siri Samsung Galaxy S22 dijangka akan dilancarkan sama ada pada lewat Januari atau awal Februari tahun hadapan. Turut diperkatakan, sebuah lagi model mercu yang tertangguh, Samsung Galaxy S21 FE mungkin akan dilancarkan menerusi acara CES 2022.













