Pada Windows versi moden hari ini, kita akan dapat melihat folder yang bernama “ProgramData” pada pemacu sistem komputer. Selalunya pemacu C:\. Folder ini adalah folder tersembunyi (hidden) dan anda hanya boleh melihatnya apabila mengubah pada tetapan  “show hidden files” dalam “File Explorer”.

Program-program menyimpan data-datanya di merata tempat di dalam Windows. Ini bergantung pada bagaimana pembangunnya mengaturcara program berkenaan. Ini termasuklah;

Application Data Folders: Kebanyakan aplikasi menyimpan tetapannya di dalam folder Application Data pada C:\Users\username\AppData\, secara default. Setiap akaun pengguna Windows memiliki folder Application Data masing-masing. Oleh itu, data dan tetapan setiap program adalah berlainan antara satu pengguna dengan pengguna yang lain.folder-appdata

Documents Folders: Sesetengah aplikasi – terutamanya aplikasi permainan PC akan memilih untuk menyimpan tetapannya di dalam Documents Folders di C:\Users\username\Documents. Melalui lokasi ini, pengguna lebih mudah untuk mencari, membuat sandaran dan menyunting fail-fail berkenaan di dalamnya.

Registry: Banyak aplikasi yang menyimpan pelbagai jenis tetapan di dalam Windows Registry. Tetapan registry boleh jadi sama ada ia tetapan untuk kesemua pengguna atau untuk satu-satu pengguna sahaja. Bagaimanapun, registry hanyalah tempat untuk tetapan tunggal. Aplikasi dan data-data bersaiz besar tidak dapat disimpan di sini.

Program Folder untuk Aplikasi-Aplikasi: Semasa zaman Windows 95, Windows 98 dan Windows XP dulu, program-program menyimpan tetapannya dan data-data lain di dalam folder masing-masing. Misalnya, jika anda memasang program seperti “Red Alert” ke C:\Program Files\Red Alert, aplikasi berkenaan akan menyimpan tetapannya dan data-data berkaitan ke dalam C:\Program Files\Red Alert jugak. Benda ini tidak bagus untuk keselamatan sistem operasi berkenaan. Oleh itu, Windows versi moden cuba untuk menghadkan tahap keizinan sesebuah program. Malah, aplikasi-aplikasi juga tidak sepatutnya boleh menulis ke folder sistem sewaktu beroperasi secara normal. Bagaimanapun, sesetengah aplikasi seperti Steam misalnya, masih lagi boleh menyimpan tetapan dan fail-fail data berkaitan di dalam direktori Program Filesnya sendiri.

Jadi, apa yang program-program simpan di dalam ProgramData?

Folder ProgramData secara ringkasnya adalah lebih kurang sama dengan folder Application Data. Cuma bezanya, folder ProgramData ini dikongsi bersama dengan akaun pengguna-pengguna lain di dalam satu komputer yang sama. Tidak seperti folder Application Data yang mengasingkan folder-folder mengikut akaun-akaun pengguna.

Dalam Windows XP, folder C:\ProgramData memang tidak wujud. Apa yang ada hanyalah folder “C:\Documents and Settings\All Users\Application Data”. Sejak dari Windows Vista, barulah folder Application Data untuk “All User” dipindahkan ke C:\ProgramData.

Menurut Microsoft, folder ini digunakan untuk data-data aplikasi yang tidak tertakluk kepada akaun pengguna secara spesifik. Fungsi-fungsi yang memerlukan keizinan sistem turut menyimpan tetapannya di dalam folder ProgramData. Contohnya perisian seperti antivirus. Walaupun ia tidak banyak bezanya dengan folder Application Data, cara penyimpanan data-data program yang diperkenalkan Windows ini adalah lebih selamat jika dibandingkan dengan cara yang digunakan pada komputer sebelum era Windows Vista.

 

1 komen

Tinggalkan komentar