FIBERTalk 2023 menyaksikan kehadiran penuh para peserta industri

Dengan nama dan jenama baharu yang digunakan, ia kini lebih relevan kepada industri dalam membina generasi terhubung yang mampu bertahan dalam era masa depan yang lestari

KUALA LUMPUR, Malaysia, 13 Februari 2023 /PRNewswire/ — FIBER NETWORK COUNCIL APAC (sebelum ini dikenali sebagai FTTH Council Asia-Pacific), hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Bandar Mampan dan Pintar Malaysia (MSCA). MoU ini menggariskan kerjasama dalam membina kapasiti penilaian prestasi projek bandar Pintar dan Lestari serta meneroka potensi jangkauan pasaran yang luas dalam segmen latihan dan pendidikan berasaskan teknologi IR 4.0.

FIBER NETWORK COUNCIL APAC menandatangani MoU dengan MSCA - Malaysia

Majlis ini menghimpunkan para peneraju industri telekomunikasi (telco) terkemuka negara pada persidangan FIBERTalk Malaysia 2023 bagi membincangkan perkembangan terkini industri serta menangani cabaran dan peluang Fiber ke Rumah dalam mendayakan 5G dan Internet Benda (IoT) untuk Bandar Pintar. Selain Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kawal selia industri, acara ini turut dihadiri oleh para eksekutif terkemuka dari Telekom Malaysia, Celcom Digi dan kerajaan tempatan dari Pulau Pinang, Melaka serta Selangor untuk membincangkan kemas kini, trend, cabaran dan peluang dalam industri tersebut.

“Dengan wawasan untuk memastikan keterangkuman dan prospek industri pada masa hadapan, kami telah menjenamakan semula majlis ini sebagai FIBER NETWORK COUNCIL APAC untuk menjelaskan lagi mesej kami agar seiring dengan industri dan merintis laluan pertumbuhan baharu yang akan mewujudkan masa depan terhubung yang lancar,” kata Encik Venkatesan Babu, Presiden FIBER NETWORK COUNCIL APAC tentang MoU tersebut.

Sebagai tambahan, Dr. Raslan Ahmad, Pengerusi MSCA turut menyatakan, “Teknologi generasi seterusnya seperti 5G dan IoT merupakan aspek yang penting dalam membangunkan Bandar Pintar yang memerlukan pelbagai penderia untuk berkomunikasi antara satu sama lain di sebalik tabir. Bagi merealisasikan matlamat ini dalam masa nyata dengan Internet kependaman rendah, suatu penyelesaian fiber yang disepadukan ke dalam infrastruktur bandar adalah penting. Kami komited untuk menghasilkan kualiti terbaik dan berasa gembira kerana FIBER NETWORK COUNCIL APAC menerajui usaha penting ini ke arah mengubah dunia masa depan yang benar-benar pintar.”

MoU yang ditandatangani dengan MSCA ini akan membolehkan FIBER NETWORK COUNCIL APAC memanfaatkan rangkaian ahli MSCA bagi memacu kerjasama pembangunan Bandar Pintar secara kolektif. Ini akan melibatkan pertukaran pengetahuan, kepakaran, teknologi dan kemahiran secara kerap dalam menghasilkan penyelesaian telekomunikasi jangka panjang yang lestari bagi tujuan membangunkan Bandar Pintar.

Semua pengumuman di atas merupakan sebahagian daripada FIBERTalk Malaysia 2023.

Foto: https://mma.prnewswire.com/media/2000320/FIBERTalk_2023.jpg

Tinggalkan komentar