Fave, platform pembayaran pintar Asia Tenggara telah melancarkan Hab Teknologi (Tech Hub) di Kuala Lumpur, Malaysia. Dalam usaha Fave untuk membawakan perubahan dalam landskap teknologi kewangan (fintech), Tech Hub baharu tersebut akan berfungsi sebagai platform untuk mempersiapkan bakat yang terbaik dalam bidang kejuruteraan dan memacu inovasi digital di Asia Tenggara.
Dalam kerjasama dengan rakan latihan iTrain dan universiti, Tech Hub Fave menyasarkan untuk mengambil 100 orang jurutera dalam tahun 2022. Tech Hub akan menyediakan latihan, pensijilan profesional, pementoran dan bimbingan, projek-projek pembangunan produk, serta bengkel dan akhirnya tawaran penempatan di syarikat-syarikat Fave dan Pine Labs kepada pesertanya.
Bermula dengan kumpulan pertama, program ini akan tertumpu kepada siswazah baharu bagi mempersiapkan mereka untuk menyertai industri. Di samping siswazah baharu dari akademi pengekodan dan universiti, program ini turut menyasarkan individu yang bertukar kerjaya/belajar sendiri yang mempunyai minat yang mendalam dalam bidang Kejuruteraan Perisian, yang mempelajarinya menerusi Youtube, Coursera, Udemy, Stack Overflow, dan LinkedIn.
Sebagai program yang berulang, Tech Hub akan menjadi langkah permulaan asas dalam komitmen Fave ke arah pengembangan saluran bakat kejuruteraan yang berterusan di Asia Tenggara.
Arzumy MD, Ketua Pegawai Teknologi bagi Fave, berkata:
“Adalah sangat penting untuk mengembangkan bakat yang merupakan tunggak kepada ekosistem fintech yang sedang pesat berkembang di rantau ini. Kami berasa bangga kerana dapat menjadi peneraju dalam membina saluran bakat yang akan membawa manfaat kepada seluruh ekosistem dan inovasi digital di rantau ini. Dengan pelancaran Tech Hub Fave dan pendekatan latihan kami yang versatil, kami yakin akan dapat membentuk pakar generasi baharu untuk merevolusikan landskap fintech di Asia Tenggara. Bagi kami, ini adalah langkah permulaan untuk mendorong kejuruteraan produk bertaraf dunia—haluan kerjaya yang pesat berkembang di Malaysia, Asia Tenggara dan dunia.”
Hala tuju Fave dalam pembinaan bakat kejuruteraan fintech
Hala tuju Fave dalam membina bakat kejuruteraan fintech bertaraf dunia di Asia Tenggara adalah berasaskan tiga teras berikut:
- Pembinaan Ekosistem: Kerjasama dengan institusi pengajian tinggi utama di Malaysia untuk mengenal pasti dan meningkatkan kemahiran bakat menerusi kuliah tambahan, bengkel pembangunan, bimbingan kerjaya dan bengkel pementoran. Ini akan digandingkan dengan program latihan amali yang diperluaskan untuk mendedahkan peserta kepada rakan ekosistem yang menggunakan teknologi digital yang diperlukan untuk mewujudkan penyelesaian digital yang termaju. Syarikat teknologi dan penyedia perkhidmatan dalam komuniti kejuruteraan berpotensi tinggi juga akan dilibatkan dengan acara dan perjumpaan untuk mempercepatkan misi keseluruhan Fave.
- Latihan Kesediaan: Latihan kerja dan pembangunan kemahiran akan dicapai melalui usaha sama erat dengan iTrain, yang akan menerajui modul teknikal dan kemahiran insaniah yang padat selama enam minggu.
- Inisiatif “Good to Great”: Segmen program pascalatihan di mana peserta yang telah ditingkatkan kemahirannya diberi tanggungjawab untuk memperkasakan dan membangunkan jurutera lain, serta ahli pasukan bukan teknikal dan menguruskan projek dengan menyeluruh.
Fave sedang mencari individu yang mempunyai proses pemikiran yang sistematik dan berstruktur dengan kemahiran kerjasama yang tinggi, pemahaman konsep baharu yang pantas dan kebolehan komunikasi yang tinggi.
Sepanjang tempoh empat kohort yang dijadualkan pada 21 Mac, 9 Mei, 4 Julai dan 5 September, Fave menyasarkan untuk menggandakan pengambilan bagi latihan amali yang akan meningkatkan standard dalam kejuruteraan produk di Asia Tenggara.
Untuk menyertai program latihan Fave, siswazah baharu yang mempunyai latar belakang pengekodan berpandu/pembelajaran sendiri digalakkan untuk memohon. Untuk menyertai program yang menarik ini, klik pautan ini untuk membuat permohonan; pendaftaran bagi pengambilan pertama akan ditutup pada 3 Mac: https://careers.myfave.com/












