Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang menunggu keputusan penghakiman bertulis penuh daripada FIFA sebelum memfailkan rayuan berhubung penggantungan yang dikenakan ke atas FAM dan tujuh pemain naturalisasi skuad kebangsaan.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, pihaknya akan mematuhi prosedur undang-undang dengan menunggu dokumen rasmi keputusan FIFA sebelum mengambil tindakan lanjut. Dalam kenyataan semalam, Datuk Noor Azman mengakui FIFA telah mengenal pasti kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen oleh kakitangan pentadbiran FAM.
“FAM mengambil perkara ini dengan serius dan menegaskan bahawa pemain warisan yang terlibat adalah rakyat Malaysia yang sah,” katanya.
Pada 26 September lalu, FIFA mengenakan denda sebanyak CHF350,000 (~ RM1.8 juta) ke atas FAM dan menggantung FAM dan tujuh pemain naturalisasi selama 12 bulan. Hukuman tersebut dikenakan atas dakwaan menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.
FIFA turut memutuskan untuk merujuk status kelayakan pemain-pemain berkenaan kepada Tribunal Bola Sepak FIFA untuk semakan lanjut. FAM menegaskan komitmennya dalam mematuhi proses yang ditetapkan dan memastikan isu ini diselesaikan secara adil dengan mengambil kira hak pemain serta integriti bola sepak Malaysia.