Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, mengesahkan bahawa segala gangguan teknikal yang melibatkan sistem Next Generation Emergency Response Services 999 (NG MERS 999) kini telah diselesaikan sepenuhnya.

Perkembangan ini dicapai susulan siri perbincangan antara Kementerian Komunikasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan Telekom Malaysia (TM).

Sistem NG MERS 999 yang dilancarkan bulan lalu dilaporkan mengalami beberapa masalah pada peringkat awal pelaksanaannya. Isu-isu yang timbul, khususnya dalam tempoh lima hari pertama, kini telah ditangani dengan berkesan.

Menurut Fahmi, sebahagian besar permasalahan yang dibangkitkan adalah berkaitan dengan aspek kakitangan dan bukannya kegagalan sistem semata-mata.

“Beberapa isu telah ditangani, dan sehingga kini tiada lagi masalah dengan sistem tersebut. Kebanyakan perkara yang dibangkitkan melibatkan isu kakitangan yang sejak itu telah disusun semula oleh TM dan Kementerian Kesihatan. Tiada lagi isu berbangkit,” jelas beliau seperti yang dipetik oleh Bernama.

Fahmi turut menjelaskan bahawa pelaksanaan sistem ini telah mematuhi semua prosedur yang ditetapkan, termasuk penandatanganan Ujian Penerimaan Pengguna (UAT) yang telah disahkan oleh pihak KKM.

Beliau menegaskan bahawa apabila sistem tersebut mula beroperasi secara langsung (go live), KKM telah bersetuju untuk menandatangani UAT tersebut sebagai sebahagian daripada proses verifikasi.

Mengenai kemungkinan tindakan dikenakan terhadap TM berhubung gangguan awal tersebut, Fahmi memaklumkan bahawa perkara itu tertakluk kepada semakan oleh jawatankuasa bersama.

Di bawah struktur pelaksanaan semasa, TM bertanggungjawab sepenuhnya ke atas sistem NG MERS 999, di mana mereka menerima panggilan kecemasan awal sebelum menyalurkannya kepada agensi penerima yang berkaitan.

Tinggalkan komentar