Facebook memperkenalkan fungsi terbaru untuk aplikasi Messenger yang membolehkan panggilan video sehingga 50 orang serentak. Fungsi ini yang dikenali sebagai Messenger Rooms membolehkan pengguna mewujudkan sesi persidangan video secara terus dari Facebook atau aplikasi Messenger.
Selain itu, Facebook juga menerbitkan aplikasi khusus desktop untuk Messenger.
Fungsi ini juga boleh digunakan oleh hos panggilan video untuk menjemput pengguna yang tidak memiliki akaun Facebook. Sesi Messenger Rooms boleh dikongsikan pada Facebook menerusi News Feed, Group, dan Events, justeru memudahkan lebih ramai pengguna menyertai sesuatu sesi.
Untuk sesi persendirian (private), hos boleh memilih sesiapa yang boleh melihat dan menyertai. Turut disertakan, kawalan pengendalian bilik (room) seperti pelaporan atau menendang keluar peserta dan mengharamkan penyertaan peserta boleh dilakukan ketika sesi panggilan video berkumpulan sedang berlangsung.
Menurut Facebook, pengguna boleh menyertai panggilan video Messenger Rooms menerusi telefon mahupun komputer, tanpa perlu memuat turun apa-apa untuk turut serta.
Pengguna aplikasi Messenger juga boleh menceriakan sesi melalui kesan khas AR dan juga fungsi dikuasakan AI seperi latar belakang 360° berserta mood pencahayaan.
Facebook menyatakan Messenger Rooms hanya dilancarkan di sesetengah negara sahaja pada minggu ini. Kemaskini ini akan menyusul ke negara-negara lain secara berperingkat dalam tempoh beberapa minggu terdekat.













