Ekosistem Android kini semakin bertambah baik dengan sokongan jangka panjang dan juga kemaskini yang ditawarkan. Kini, para pembuat dasar Kesatuan Eropah (EU) memulakan langkah untuk menetapkan piawaian kemaskini Android supaya selaras dengan apa yang ditawarkan oleh Google untuk peranti Pixel 6.
Draf undang-undang tersebut kini sedang dirangka untuk mewujudkan syarat-syarat yang diperlukan bagi rekabentuk eco untuk telefon mudah alih, telefon tanpa kord, dan tablet. Undang-undang ini perlu dibentuk bagi mengurangkan pembaziran peranti-peranti elektronik seperti telefon pintar yang biasanya akan menjadi e-waste.
Berdasarkan dapatan dari Suruhanjaya pembentukan undang-undang baharu ini, melanjutkan jangka hayat peranti dari 2-3 tahun kepada lima tahun bersamaan mengurangkan sebanyak 5 juta kereta dari jalan raya.
Antara usaha yang dibawakan oleh undang-undang ini adalah pertama sekali dengan menetapkan kemaskini perisian yang minimum. Misalnya untuk peranti Android melalui tiga tahun kemaskini utama (contoh Android 13, Android 14 dan sebagainya) dan lima tahun kemaskini keselamatan untuk peranti yang dijual di EU.
Beberapa pengeluar Android utama sudah mula memperkenalkan kemaskini jangka panjang untuk peranti keluaran masing-masing. Antaranya Google melalui Pixel 6, dan Samsung.
Selain melanjutkan sokongan perisian, EU juga kini dalam usaha menggesa pengeluar-pengeluar menawarkan alat ganti dan perkhidmatan baik pulih sekurang-kurangnya lima tahun selepas ia mula dijual. Tempoh hayat bateri juga perlu dipertingkatkan tempoh kitarannya bagi mengurangkan peranti dibuang begitu sahaja walaupun komponen-komponennya yang lain masih lagi elok.
Berkait rapat dengan bateri ini juga, EU juga mewajibkan kesemua pengeluar telefon pintar termasuk iPhone untuk menggunakan USB-C untuk port pengecasan bermula 2024. Usaha yang dilakukan ini merupakan sebahagian dari langkah ke arah melestarikan alam sekitar melalui pengurangan pembaziran sisa elektronik di seluruh dunia.













