Penyambung Lightning seringkali dikaitkan dengan produk-produk keluaran Apple, terutamanya iPhone. Suruhanjaya Eropah pada masa ini dijangkakan akan membentangkan Rang Undang-Undang baharu yang memastikan jenama tersebut menggunakan piawaian universal.

Rang Undang-Undang ini tidak menyebut secara spesifik terhadap Apple, kerana ia akan menjadi garis panduan pemwujudan piawaian penyambung pengecas umum.

Pun begitu, undang-undang baharu akan memberi kesan terhadap Apple dan iPhone berbanding peranti-peranti lain. Ini kerana hanya Apple sahaja yang masih lagi kekal menggunakan piawaiannya sendiri.

Menurut Apple, pelaksanaan undang-undang penetapan jenis pengecas ini akan menjejaskan “daya inovatif”, dan “meningkatkan pembaziran komponen elektronik”. Hasrat ini telah ditunjukkan melalui keputusan Apple untuk tidak menyertakan pengecas bagi iPhone keluaran baharu.

Bagaimanapun, menurut laporan dari MacRumors, tujuan pelaksanaan Rang Undang-Undang baharu oleh Kesatuan Eropah (EU) ini sememangnya bagi mengurangkan pembaziran komponen elektronik.

Pelaksanaan Rang Undang-Undang baharu piawaian pengecas universal oleh EU ini kelak dijangka akan diikuti oleh badan legislatif negara-negara di rantau lain. Hal ini pastinya memberikan khabar gembira buat pengguna kerana tidak perlu lagi mendapatkan pengecas yang berbeza-beza mengikut peranti masing-masing.

Tinggalkan komentar