Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menafikan kesahihan satu dokumen yang tular di aplikasi WhatsApp berkenaan perintah larangan penggunaan telefon pintar oleh individu di bawah umur 16 tahun. Menurut JPM, dokumen tersebut adalah palsu dan jabatan itu tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenainya.​

Dokumen palsu yang menggunakan kepala surat JPM dan bertarikh 20 Oktober itu menyatakan bahawa bermula 1 Januari 2026, semua individu di bawah umur 16 tahun dilarang sama sekali daripada memiliki, menggunakan atau mengakses telefon pintar di mana-mana sahaja di Malaysia.

Dokumen itu turut mendakwa individu atau penjaga yang gagal mematuhi arahan tersebut boleh dikenakan tindakan, termasuk denda tidak melebihi RM5,000 atau khidmat masyarakat.​

Dalam satu kenyataan, JPM menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan sedemikian. “Orang ramai dinasihatkan agar beretika dan bertanggungjawab dengan mengesahkan kesahihan sebarang maklumat sebelum berkongsi dengan pihak lain, bagi mengelakkan kekeliruan dan maklumat salah,” menurut kenyataan itu.​

JPM turut mengingatkan bahawa penyebaran berita atau maklumat palsu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Orang ramai digesa untuk sentiasa berwaspada dan menyemak kesahihan sesuatu berita daripada sumber yang sahih sebelum menyebarkannya bagi membendung penularan maklumat palsu.

Tinggalkan komentar