Kerajaan mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus berkuat kuasa pada 14 dan 15 Februari 2026. Inisiatif ini dilaksanakan bersempena dengan sambutan Tahun Baru Cina yang bakal tiba tidak lama lagi.

Ia bertujuan untuk meringankan beban kos perjalanan bagi pengguna lebuh raya yang merancang untuk pulang ke kampung halaman mahupun bercuti.

Langkah ini diambil bagi memastikan kelancaran aliran trafik pada hujung minggu sebelum perayaan bermula. Menteri Kerja Raya menjelaskan bahawa pemilihan tarikh tersebut bukan sahaja untuk membantu pengguna dari sudut ekonomi. Malah ia dirangka untuk mengoptimumkan operasi serta menyelaraskan logistik tambahan di kawasan hentian sebelah serta kawasan rehat dan rawat (R&R).

“Diskaun ini dijangka dapat membantu meringankan kos perjalanan orang ramai untuk pulang ke kampung atau bercuti sempena musim perayaan, serta menjelang Ramadan,” menurut Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi .

Tawaran diskaun ini terpakai untuk semua kenderaan Kelas 1 di semua plaza tol. Serta kenderaan Kelas 2 khusus di Jambatan Pulau Pinang.

Diskaun ini bagaimanapun tidak diberikan kepada tol di sempadan negara. Tol yang dimaksudkan adalah Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

Inisiatif diskaun tol ini merupakan kesinambungan usaha kerajaan dalam menyantuni keperluan rakyat setiap kali musim perayaan utama.

Pengguna lebuh raya dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan bijak dan memastikan baki kad Touch ‘n Go atau e-Wallet mencukupi bagi mengelakkan sebarang kesulitan di plaza tol.

Tinggalkan komentar