Utama Mobile Aplikasi Diskaun 50% untuk Saman Trafik sehingga 16 September melalui Aplikasi MyBayar PDRM

Diskaun 50% untuk Saman Trafik sehingga 16 September melalui Aplikasi MyBayar PDRM

98
0

PUTRAJAYA, 30 Ogos – Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama-sama Police DiRaja Malaysia telah melancarkan Kempen Diskaun Saman Kebangsaan dengan tawaran pengurangan saman trafik polis sebanyak 50% bermula dari 31 Ogos sehingga 16 September 2025.

Di dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis lalu, kementerian mengumumkan kempen dengan kerjasama MyDigital ID ini hanya menerima pembayaran melalui aplikasi MyBayar PDRM menggunakan log masuk MyDigital ID. Ia bertujuan memastikan tawaran ini ditawarkan secara khusus untuk rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, orang ramai dipelawa mengambil peluang keemasan pengurangan saman ini bagi melangsaikan tunggakan saman trafik PDRM. Inisiatif bersempena Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia ke-62 ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan mentransformasikan perkhidmatan ke arah digital.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di dalam kenyataan yang sama menyatakan pihak kerajaan mengambil pendekatan ini bagi memberikan manfaat secara terus kepada rakyat.

“Tawaran pengurangan saman ini adalah simbol penghargaan kerajaan kepada Malaysia, di samping menggalakkan penggunaan identiti digital nasional sebagai asas kepada transformasi digital perkhidmatan awam.

“Saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk mengambil peluang ini, serta bersama-sama menyokong usaha kerajaan ke arah perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan moden,” katanya.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh perkhidmatan digital negara, di samping memberi penghargaan kepada rakyat dengan peluang menyelesaikan saman trafik secara lebih mudah, cepat dan selamat.

“MyDigital ID sebagai kaedah pengesahan identiti digital yang sah dan dilindungi, memastikan akses yang lebih terjamin, sekali gus mengurangkan risiko penipuan identiti serta penyalahgunaan maklumat peribadi rakyat.

“Dengan pelaksanaan ini, kerajaan melalui KDN dan PDRM menzahirkan komitmen untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan, di samping mengangkat agenda digitalisasi negara seiring dengan semangat kemerdekaan dan kemajuan Malaysia,” katanya.

Tinggalkan komentar