Utama Gaya Hidup Kenali Dion Wiyoko dan Sheila Dara, Gandingan Serasi di sebalik Sore: Isteri...

Kenali Dion Wiyoko dan Sheila Dara, Gandingan Serasi di sebalik Sore: Isteri Dari Masa Depan

18
0

Bersiap sedialah untuk sebuah perjalanan emosi yang bermain dengan elemen ‘time travelling’ dalam filem romantik fantasi Sore: Istri dari Masa Depan, yang bakal menemui penonton di pawagam bermula 25 September 2025.

Namun sebelum anda hanyut dalam dunia Jonathan dan Sore, mari kita kenali dahulu wajah sebenar di sebalik watak ini; Sheila Dara Aisha dan Dion Wiyoko, pasangan serasi yang sudah beberapa kali membuktikan keserasian luar biasa mereka di layar.

Kini melonjak naik populariti dengan lakonan versatilnya, Sheila Dara Aisha ialah definisi bintang yang berkembang bersama zaman.

Kerjaya seninya bermula seawal kecil lagi apabila beliau menjadi ahli trio Arvaby dan duta McKids sekitar tahun 2000. Malah, ramai mungkin tidak tahu bahawa Sheila pernah menyanyikan lagu tema kartun ikonik Crayon Shinchan dan Hamtaro versi Indonesia.

Beliau mula serius dalam bidang lakonan pada tahun 2013 melalui filem Romantini, sebelum semakin dikenali dengan deretan filem popular lain seperti Marmut Merah Jambu (2014), Sabtu Bersama Bapak (2016), Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini (2020) dan Jatuh Cinta Seperti di Film Film (2023).

Pelakon utama lelaki Sore: Istri dari Masa Depan, Dion Wiyoko, kembali menghidupkan watak Jonathan, karakter yang sudah diperkenalkan sejak webfilm asal pada 2017 dan telah berjaya menambat hati penonton.

Perjalanan Dion bermula di dunia permodelan apabila beliau menjuarai pertandingan majalah Aneka Yess! dalam kategori Wajah Oriental (seakan Hero Remaja di Malaysia). Namun, nama Dion benar-benar dikenali setelah membawakan watak Yohan dalam Cek Toko Sebelah. Lakonannya yang penuh emosi bukan sahaja mencuri perhatian, tetapi juga mengangkatnya sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Paling Popular di Indonesian Movie Actors Awards, di samping lima lagi pencalonan berprestij.

Selain Cek Toko Sebelah, Dion turut membintangi filem seperti Mimpi Sejuta Dolar (2014), Karier, Cinta dan Timbangan (2019) serta Jatuh Cinta Seperti di Film Film (2023).

Di luar layar, Dion memupuk minat mendalam dalam bidang fotografi. Hobi yang bermula sekadar suka-suka kini berkembang menjadi ekspresi diri yang serius; malah beberapa hasil bidikan lensanya turut dipamerkan dalam Sore: Istri dari Masa Depan, menjadikan sentuhannya lebih peribadi dalam naskhah ini.

Apabila dua figura hebat ini digandingkan, hasilnya pasti tidak mengecewakan. Penonton sudah menyaksikan keserasian mereka mekar dalam beberapa projek terdahulu, dan kali ini, Sore: Istri dari Masa Depan menjanjikan dimensi baharu yang lebih menyentuh emosi.

Tidak hairanlah naskhah ini lebih awal sudah menerima pujian daripada penonton di Indonesia, dengan ramai mengaku sanggup menontonnya berkali-kali.

Tandakan Kalendar Anda!

Apa yang bakal berlaku apabila cinta diuji oleh perjalanan waktu? Semua jawapan menanti anda dalam Sore: Istri dari Masa Depan, bermula 25 September 2025 hanya di pawagam.

Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif, ikuti kami di Facebook, Instagram, Twitter, dan YouTube Primeworks Studios.

Tinggalkan komentar