Permainan mudah alih berasaskan lokasi dengan realiti imbuhan (Augmented Reality, AR) Pokemon Go masih lagi mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Pelbagai serbuan (raids) masih lagi disediakan bagi membolehkan pemain-pemain menangkap Pokemon legenda di dalam permainan tersebut.

Serbuan berikutnya akan mengambil tempat di Digi Stores sebagai usahasama di antara Digi dengan Pokemon Go. Sebanyak 237 buah kedai di seluruh Malaysia akan menjadi Gym Pokemon sementara.

Kempen ini bermula pada 3 September ini dan akan tamat pada 15 Oktober 2022. Pemain-pemain Pokemon Go boleh mengunjungi mana-mana Gym Digi Store yang mengambil bahagian untuk menyertai serbuan terhadap Deoxys dalam kesemua empat bentuk evolusinya.Pokemon-Go-Deoxys.jpg

Secara amnya, setiap gym akan menganjurkan satu serbuan dalam satu hari. Namun, memandangkan kempen ini bermula pada hujung minggu ini, dua hari pertama akan menyediakan empat serbuan untuk setiap gym dalam satu hari.

Pemain-pemain Pokemon Go juga ditawarkan dengan kod percuma yang boleh digunakan untuk menebus pek eksklusif dalam permainan bernilai RM10, termasuk pas ‘Premium Raid’.

Apa yang anda perlu lakukan untuk mendapatkan kod tersebut adalah membelanjakan lebih dari RM5 untuk sebarang transaksi di Kios Layan Diri Digi di Digi Stores yang menyertai. Perbelanjaan tersebut turut merangkumi pembayaran bil pascabayar atau membuat isian semula kredit untuk syarikat telekomunikasi lain. Tawaran ini terhad selagi stok masih ada.

Khusus untuk pelanggan Digi, satu Pas Khas Pokemon Go Unlimited disediakan untuk akses tanpa had ke Pokemon Go selama 7 hari berharga RM5. Pelanggan prabayar yang membeli atau memperbaharui pelan prabayar masing-masing akan menerima kredit RM5 bagi membolehkannya digunakan untuk pas tersebut. Tawaran ini hanya terhad kepada pelan prabayar Digi Prepaid NEXT 35, 34 dan RDY.

Laman Facebook rasmi Digi juga akan menganjurkan peraduan “Guess that Pokemon” dengan patung aksi Pokemon Funko Pop bernilai RM60 sebagai ganjaran.

Maklumat lanjut, layari laman web rasmi Digi dan laman Facebook rasmi Digi.

Tinggalkan komentar