PUTRAJAYA, 4 Disember  2023 – DE-CIX Malaysia, anak syarikat DE-CIX Group, pengendali Internet Exchange (IX) global terkemuka, mengumumkan kerjasama julung-julung kalinya dengan Digital Penang, sebuah organisasi peneraju inovasi digital di bawah Kerajaan Negeri Pulau Pinang, untuk menubuhkan Penang Internet Exchange (PIX) yang dikuasakan oleh DE-CIX. Kerjasama strategik ini akan merevolusikan landskap kesalinghubungan di Pulau Pinang dan melonjakkan keupayaan digital rantau ini ke tahap baharu melalui rangkaian Internet yang lebih pantas, teguh dan berpatutan. 

“Kami sangat teruja untuk menjalinkan kerjasama dengan Digital Penang bagi menubuhkan Penang Internet Exchange, sebuah projek pembangunan yang akan memberi impak positif kepada infrastruktur digital rantau ini. Pulau Pinang berada pada kedudukan yang sempurna untuk muncul sebagai hab kesalinghubungan baharu di rantau Asia Tenggara apabila mengambil kira tahap inovasi dan kemajuan teknologi semasa negeri ini,” kata ahli Lembaga Pengurusan DE-CIX Malaysia, Wong Weng Yew.

Katanya lagi, “Melalui perkongsian ini, kami menyasarkan untuk menyediakan platform saling hubungan terkini yang akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekosistem digital di Pulau Pinang sekali gus memperkasakan perniagaan, institusi dan individu dengan ketersambungan yang lebih kukuh dan akses yang unggul kepada rangkaian global. PIX yang dikuasakan oleh DE-CIX akan berfungsi sebagai pintu masuk penting, mengupayakan pertukaran data dan memudahcara kerjasama, dan pada penghujungnya memacu inovasi dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi.”

Landskap kawal selia dan dasar mesra teknologi negara mengalami penambahbaikan yang ketara mutakhir ini susulan usaha kerajaan dalam menggiatkan keupayaan pendigitalan negara bagi menjadikan Malaysia salah satu hab infrastruktur digital utama di rantau ini. Oleh itu, kerjasama ini pastinya akan menyumbang kepada usaha merancakkan kadar penerimagunaan digital, terutamanya dalam sektor perniagaan.

PIX akan diuruskan mengikut dasar operasi standard yang dilaksanakan oleh DE-CIX Malaysia di Internet Exchange yang lain, bagi menjamin tahap keselamatan dan kebolehpercayaan PIX yang dikuasakan oleh DE-CIX. Dasar ini menuntut pematuhan kepada amalan keselamatan terbaik dalam industri bagi menjamin persekitaran Internet Exchange yang selamat dan boleh dipercayai.

“Perkongsian strategik antara Digital Penang dan DE-CIX Malaysia merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan kami untuk menjadikan Pulau Pinang hab digital terkemuka di Asia Tenggara. Penang Internet Exchange akan berfungsi sebagai hab penting kepada aktiviti Internet tempatan yang memangkin penerimagunaan meluas aplikasi digital seperti IoT, AI dan IR4.0,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Digital Penang, Ts. Ng Kwang Ming. “Kami bersedia untuk menerima pelaburan daripada penyedia kandungan, Rangkaian Penyampaian Kandungan (CDN), dan pelbagai perniagaan berteraskan Internet lain, yang akan memainkan peranan penting dalam membina asas ekosistem pusat data yang teguh di Pulau Pinang.”

Ts. Ng Kwang Ming menegaskan bahawa Penang Internet Exchange diwujudkan bagi meningkatkan pengalaman pengguna Internet warga Pulau Pinang. Selain itu, ia juga bersedia untuk mencipta peluang bagi generasi akan datang menerusi penerimagunaan perkhidmatan digital sensitif kependaman terkini yang pesat, dalam komuniti dan perniagaan tempatan.

“Infrastruktur saling hubungan tempatan yang maju telah lama dinanti-nantikan di Pulau Pinang. Dalam hal ini, kami di DE-CIX berbangga menjadi sebahagian daripada sejarah dengan melaksanakan peranan kami untuk menjadikan Pulau Pinang dan Malaysia sebagai hab digital yang cemerlang di rantau ini. Inisiatif ini sejajar dengan pengumuman Belanjawan Malaysia 2024 yang lalu, kerana ia mencerminkan objektif kerajaan untuk mengangkat Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi dan menarik pertambahan pelaburan langsung asing,” kata Wong Weng Yew.

DE-CIX dan Digital Penang sangat teruja untuk menyegerakan pertumbuhan ekonomi digital Pulau Pinang serta mengukuhkan status rantau ini sebagai destinasi menarik untuk pelabur, perniagaan, dan syarikat teknologi. DE-CIX Pulau Pinang akan memainkan peranan penting dalam mengupayakan kesalinghubungan berkelajuan tinggi, boleh dipercayai dan selamat, yang penting untuk memupuk kerjasama dan memacu inovasi digital merentas industri. 

Kerjasama antara DE-CIX Malaysia dan Digital Penang juga akan menggalakkan perkongsian pengetahuan dan kepakaran teknikal dalam bidang Internet Exchange. Sesi latihan dan Forum Rangkai Padan (Peering) Pulau Pinang secara tahunan akan dianjurkan bagi memudahcara pertukaran pengetahuan dan meningkatkan tahap kecekapan teknikal dalam kalangan pihak berkepentingan. Maklumat lanjut tentang penyertaan boleh didapati dengan melayari www.de-cix.my

Tinggalkan komentar