Bayangkan masa depan dunia yang berhadapan dengan kekurangan sumber hingga memaksa pengeluar-pengeluar kereta menggunakan kotak kitar semula untuk menggantikan besi pada badan kereta.
Itulah yang dilakukan oleh Citroën melalui kereta konsep baharu “Oli” yang direka sebagai persediaan menghadapi kemungkinan tersebut.
Kotak yang digunakannya bukan jenis yang biasa-biasa. Ia diperbuat dalam bentuk khas seakan corak sarang lebah di dalamnya dan diperkasakan dengan lapisan plastik pada setiap sisinya bagi menguatkan lagi ketahanannya.
Ia diperbuat hasil dari pembangunan bersama dengan syarikat kimia besar dari Jerman, BASF. Gabungan bahan ini dengan ciri rekabentuk cermin tingkap hadapan kereta yang menegak untuk mengurangkan jumlah kaca yang diperlukan telah menurunkan berat keseluruhannya pada kurang dari 1,000kg. Hasilnya, kereta ini mampu mencapai had kelajuan seperti motorsikal Honda EX5 pada 110km/j.

Abah-abah (harness) berwayar tidak disediakan pada panel pintunya yang hanya mempunyai lapan komponen sahaja termasuk kunci berbanding 35 secara purata pada kereta hari ini. Papan pemukanya di tempat duduk pemandu menyediakan maklumat dari telefon pintar pengguna bagi tujuan komunikasi dan hiburan.
Tingkapnya boleh dibuka secara manual dan cermin hadapannya yang direka secara menegak mampu mengurangkan kesan radiasi solar. Selain itu, ia juga mengurangkan kebergantungan pada penyaman udara kereta dengan mengambil angin dari luar ketika kereta sedang bergerak.

Citroën Oli turut direka supaya boleh dikitar semula dan mudah dibaiki agar mampu bertahan untuk sekurang-kurangnya tiga generasi atau 50 tahun.
Usaha pembangunan kenderaan elektrik konsep ini telah dimulakan sejak 2019 lagi sebelum wabak pandemik dan peperangan di Ukraine tercetus. Menurut Ketua Produk Masa Depan Citroën Anne Laliron, perubahan persekitaran global yang mendadak telah menguatkan lagi azam mereka untuk menghasilkan produk lestari demi masa depan sejagat.













