Sungguhpun iOS 15 ditawarkan sehingga iPhone 6s, tidak semua ciri-ciri yang ditawarkannya boleh digunakan oleh kesemua model-model iPhone yang menyokongnya. Sesetengah ciri tersebut hanya ditawarkan secara eksklusif untuk iPhone XS dan ke atas.

Model-model iPhone yang dimaksudkan termasuklah iPhone XR, iPhone XS, iPhone 11, iPhone 11 Pro, iPhone SE (Gen Kedua), iPhone 12, dan iPhone 12 Pro.

Berikut adalah antara ciri-ciri iOS 15 yang ditawarkan pada sesetengah model iPhone:

Untuk iPhone XS dan ke atas

Glob interaktif di dalam Maps: Glob interaktif 3D baharu ditawarkan di dalam aplikasi Apple Maps yang menyertakan perincian bagi banjaran gunung, gurun, hutan, lautan serta banyak lagi.

Hala jalan kaki imersif di dalam Maps: Boleh melihat ke mana arah perjalanan langkah-demi-langkah ditunjukkan dalam bentuk realiti imbuhan.

FaceTime dengan sokongan audio spatial: Ciri ini menghasilkan medan bunyi yang membantu aliran perbualan mirip perbualan secara berdepan. Suara rakan panggilan anda akan disebarkan berdasarkan kedudukan semasanya di dalam perbualan.

Portrait Mode di FaceTime: Ciri ini membolehkan gambar latar dikaburkan bagi memberikan fokus kepada pengguna. Fungsi ini hanya unik untuk iPhone yang menggunakan cipset A12 Bionic sahaja.

Kunci digital: Anda boleh menambah kunci rumah, pejabat, hotel dan juga kereta melalui ciri ini.

Pemprosesan pertuturan Siri pada peranti: Melalui iOS 15, audio permintaan anda boleh diproses sepenuhnya pada iPhone anda. Penggunaan Apple Neural Engine membolehkan pengecaman pertuturan dimodelkan sama seperti yang dibuat melalui server.

Animasi bergerak pada gambar latar Weather: Terdapat ribuan animasi latar belakang bergerak yang boleh dipilih yang menunjukkan kedudukan matahari, awan dan kerpasan.

Untuk iPhone 12 dan ke atas

Kecenderungan memilih 5G sahaja berbanding Wi-Fi: iPhone 12 dengan iOS 15 boleh memberikan keutamaan secara automatik pada 5G sahaja berbanding Wi-Fi.

Peningkatan ketersambungan 5G: Lebih banyak aplikasi dan sistem dalaman dipertingkatkan dengan ketersambungan 5G yang lebih pantas. Antaranya sokongan sandaran ke iCloud, penstriman audio dan video, penyegerakan foto di iCloud Photos, muat turun model pembelajaran mesin, dan banyak lagi.

Gambar panorama: Mod panorama di dalam iPhone 12 dan iPhone 12 Pro telah mempertingkatkan imej herotan geometri. Serta mampu mengambil imejan subjek bergerak yang lebih baik sambil pada masa yang sama mengurangkan hingar dan herotan.

Untuk iPhone 7, iPhone 8 dan ke atas

Audio spatial dengan penjejakan kepala dinamik: Pendengar yang menggunakan AirPods Pro dan AirPods Max akan mendapat kualiti pendengaran lebih imersif melalui muzik Dolby Atmos dengan penjejakan kepala dinamik dari Apple.

Walking Steadiness: Metrik kesihatan ini akan memberikan petunjuk kepada anda jika terdapat risiko untuk anda terjatuh sewaktu berjalan.

Tinggalkan komentar