Qualcomm telah mengumumkan cipset Snapdragon 678 secara rasminya menjadi pewaris kepada Snapdragon 675 yang telah diperkenalkan pada 2018. Cipset terbaru ini menjanjikan kualiti fotografi dan ketersambungan yang lebih baik dengan pada masa yang sama meningkatkan tahap kecekapan penggunaan bateri.

Khusus untuk kegunaan telefon pintar peringkat menengah, Snapdragon 678 dibina berasaskan proses pembuatan 11nm LLP dengan berkongsikan beberapa ciri yang sama seperti versinya yang terdahulu.

Apa yang membezakannya dengan versi yang terdahulu adalah pada teras Cortex A76 yang telah di’overclock’ di dalam CPU Kryo 460. Ianya mampu mencapai kelajuan pemprosesan sehingga 2.2GHz –  ~0.2GHz lebih pantas berbanding Snapdragon 675. Juga, GPU Adreno 612 turut memperlihatkan peningkatan prestasi.

Cipset terbaru ini menampilkan ISP Spectra 250L, Modem LTE X12 dan DSP Hexagon 685. Penggunaan Hexagon 685 mampu menyokong pengaggregatan pembawa lanjutan (advanced carrier aggregation) dengan muat turun sehingga 600Mbps dan muat naik sehingga 150Mbps.

Selain itu, ketersambungan Snapdragon 678 turut menyokong kesemua mod selular utama dengan Licensed Assisted Access (LAA) untuk peningkatan kapasiti.

Cipset ini juga berkeupayaan membolehkan telefon pintar memaparkan resolusi piksel paparan sehingga 2520 x 1080 dan warna 10-bit.

Tidak ketinggalan, ia juga boleh menyokong sehingga 48MP untuk kamera utama dan 16MP untuk kamera hadapan. Serta sokongan fungsi rakaman video 4K pada 30fps melalui codec HEVC.

Qualcomm setakat ini tidak menyatakan telefon pintar peringkat menengah mana yang bakal menggunakan cipset terbaru ini.

Tinggalkan komentar