CIMB telah mengesahkan pihaknya kini sedang berdepan masalah teknikal pada sistemnya yang turut melibatkan laman webnya dan juga aplikasi mudah alih CIMB Clicks.

Berdasarkan jumlah aduan yang diterima dari pengguna d Twitter, masalah ini telah berlaku sejak beberapa jam yang lalu dan setakat artikel ini ditulis, masalah ini masih lagi belum diselesaikan.

Kedua-dua tempat di dalam laman web rasmi CIMB dan juga CIMB Clicks dilapor menunjukkan paparan ralat apabila pengguna cuba melengkapkan sebarang transaksi online. Ia meliputi pemindahan segera, pemindahan antarabank (GIRO) dan DuitNow.

Sesetengah pengguna turut melaporkan mengalami masalah apabila melakukan bayaran menggunakan kad CIMB dan juga tidak dapat melihat baki akaun bank masing-masing melalui laman web dan juga aplikasi mudah alih. Selain itu, perkhidmatan Bizchannel@CIMB turut dilaporkan tidak boleh diakses.

Akaun Twitter rasmi khidmat bantuan CIMB, CIMB Assists memaklumkan pihak bank sedang giat menjalankan kerja-kerja pembaikan masalah ini secepat mungkin menerusi hantaran-hantarannya. CIMB setakat ini masih belum menyatakan punca sebenar kejadian ini berlaku.

Dalam pada masa yang sama, pengguna-pengguna buat masa ini masih lagi belum memaklumkan sama ada masalah ini turut melibatkan penggunaan ATM CIMB atau perkhidmatan di kaunter secara fizikal.

Tinggalkan komentar