China akan menjadi negara pertama di dunia yang mengharamkan penggunaan pemegang pintu jenis tersembunyi (hidden door handles) pada kenderaan elektrik (EV) bermula 1 Januari 2027.
Langkah ini diambil susulan peraturan keselamatan baharu yang dikeluarkan oleh Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China.
Peraturan ini mewajibkan semua kereta yang dijual di negara tersebut dilengkapkan dengan mekanisme pelepasan mekanikal. Ia meliputi pada bahagian dalam dan luar kenderaan bagi memudahkan operasi menyelamat.
Keputusan ini didorong oleh kebimbangan keselamatan yang semakin meningkat mengenai reka bentuk pemegang pintu futuristik yang dipopularkan oleh jenama seperti Tesla.
Pada Mac dan Oktober lalu terdapat insiden kemalangan maut melibatkan model Xiaomi SU7. Dalam kejadian tersebut, pemandu serta penumpang terperangkap akibat kegagalan pintu dibuka dari luar.
Keselamatan diutamakan

Susulan kemalangan tersebut, pihak berkuasa China memutuskan untuk menetapkan standard teknikal yang lebih ketat. Ia bagi memastikan keselamatan pengguna tidak dikompromi demi estetika.
Di bawah peraturan baharu ini, pihak kementerian telah menetapkan dimensi spesifik bagi reka bentuk pintu kenderaan. Ruang cengkaman pada pemegang pintu mestilah berukuran sekurang-kurangnya 6 x 2.5 cm. Ia bertujuan membolehkan tangan manusia mencapai dan membuka pintu dengan mudah.
Selain itu, kenderaan juga perlu dilengkapkan dengan papan tanda arahan bersaiz tidak kurang daripada 1 x 0.7 cm yang menunjukkan cara membuka pintu tersebut ketika kecemasan.
Perubahan ini dijangka memberi kesan besar kepada pengeluar automotif global memandangkan China merupakan pasaran utama.
Syarikat gergasi tempatan seperti Geely dan BYD dilaporkan telah menjangka perubahan ini dan mula kembali kepada reka bentuk pemegang pintu tradisional.
Sementara itu, Tesla telah mengesahkan mereka akan melakukan perubahan yang diwajibkan pada kenderaan pasaran China serta menjadikan mekanisme pelepasan manual lebih intuitif.
Larangan ini menandakan pergeseran fokus industri automotif China daripada reka bentuk aerodinamik semata-mata kepada aspek keselamatan praktikal.
Selaku peneraju teknologi EV, langkah kerajaan China ini berkemungkinan besar akan mempengaruhi piawaian keselamatan kenderaan di peringkat global. Seterusnya memaksa pengeluar antarabangsa untuk menyelaraskan reka bentuk mereka bagi mematuhi norma baharu ini.













