NVIDIA kini berdepan dakwaan rasmi dari pengawal selia pasaran China yang mendakwa syarikat teknologi gergasi itu telah melanggar undang-undang anti-monopoli China.
Isu ini muncul selepas siasatan awal yang dijalankan akibat pengambilalihan Mellanox oleh NVIDIA, yang dipercayai mencetuskan kebimbangan terhadap penguasaan pasaran dan sekatan teknologi tinggi yang dikenakan ke atas eksport cip GPU ke negara China. Situasi ini dijangka meningkatkan lagi ketegangan perdagangan yang berlarutan antara Amerika Syarikat dan China.
Pada tahun 2019, NVIDIA mengambil alih syarikat dari Israel, Mellanox Technologies, pakar pengkhususan dalam peralatan rangkaian berkelajuan tinggi berintegrasi dengan cip GPU. Salah satu syarat penting dari pengambilalihan ini adalah NVIDIA perlu meneruskan pembekalan cip GPU berteknologi tinggi ke pasaran China.
Namun, syarat tersebut tidak dapat dilaksanakan apabila pentadbiran Biden menguatkuasakan peraturan mengehadkan eksport cip canggih buatan Amerika ke China. Ia seterusnya telah memburukkan lagi hubungan perdagangan dua hala kedua-dua negara.
Reaksi dan Implikasi Ketegangan Perdagangan
Pengumuman oleh badan penguatkuasaan China dibuat ketika perbincangan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat sedang berlangsung di Madrid, Sepanyol. Amerika Syarikat menyifatkan tindakan China sebagai “waktu yang tidak sesuai” yang berpotensi menimbulkan ketegangan lebih lanjut.
Ia merupakan rentetan daripada perang tarif yang mula dicetuskan sejak pentadbiran Trump. China bertindak balas dengan menjalankan siasatan antitrust terhadap syarikat seperti Alphabet Google.
Menurut Lian Jye Su, penganalisis utama di Omdia, tindakan ini tidak bererti menghalang NVIDIA dari pasaran China. Ia lebih kepada pengawasan lebih ketat terhadap aktiviti monopoli dan pasaran yang adil. CEO NVIDIA, Jensen Huang, sering mengadakan lawatan ke China dalam tahun ini dalam usaha meredakan ketegangan geopolitik antara kedua-dua negara berkenaan.
Dakwaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada NVIDIA, tetapi juga menggambarkan konflik sistemik yang berlaku dalam sektor teknologi tinggi antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia, khususnya dalam pengeluaran dan penyebaran teknologi cip komputer canggih.