Chery memperkenalkan sebuah lagi sub-jenama baharunya di dalam industri automotif melalui Lepas. Ia seakan-akan perkataan di dalam Bahasa Melayu, namun mempunyai maksud yang berbeza oleh pengeluar tersebut.
Menurut Chery, nama tersebut merupakan gabungan perkataan “leap” dan “passion” menjadikan ia perlu disebut seperti “leap-pass”, dan bukannya “le-pas”, apatah lagi “lipas”. Diumumkan pada Oktober tahun lalu ketika Persidangan Pengguna Chery Antarabangsa 2024, Lepas disasarkan kepada golongan elitis bandar generasi baharu dengan tumpuan terhadap kenderaan keluarga.
Kini sub-jenama berkenaan secara rasminya telah dilancarkan ke pasaran global minggu ini dengan model pertamanya, sebuah SUV yang dinamakan L8 sedia untuk pengeluaran. Kenderaan tersebut juga dipamerkan di Shanghai Auto Show baru-baru ini.
Lepas L8 merupakan SUV segmen D yang dibina berasaskan platform T1X yang turut digunakan pada Chery Tiggo 7, Omoda C7, dan Jaecoo J7. Oleh yang demikian, ia akan ditawarkan dengan pelbagai pilihan powertrain, merangkumi hibrid pemalam (plugin hybrid), petrol sahaja, hibrid, dan elektrik sepenuhnya.
Menurut Caricarz, Lepas L8 berkongsikan beberapa ciri rekabentuk Chery Tiggo 8 Plus yang diperkenalkan di China pada tahun lepas. Persamaan tersebut mungkin lebih dari sekadar rekabentuk luarannya dan turut melibatkan rangkaian pemacunya (drivetrain).
Bagaimanapun spesifikasi rasminya masih lagi belum diterbitkan oleh pengeluar tersebut. Apapun, lebih banyak perincian mengenainya dijangka diumumkan ketika acara pelancarannya Disember tahun ini, sebagaimana yang diumumkan oleh Presiden Chery International, Zhang Guibing.
Beliau turut mendedahkan empat lagi model akan dilancarkan dibawah jenama Lepas kelak dengan dua nama model tersebut telah pun didedahkan iaitu L6 dan L4 yang dijangka model-model SUV.
Laman web automotif Paultan.org menjangkakan Lepas L8 mungkin akan memasuki pasaran Malaysia. Walaubagaimanapun, tiada sebarang pengumuman rasmi berkenaan ketersediaan dan spesifikasi terperinci model-model kenderaan tersebut.











